Adapun hadis-hadis yang sahih yang menyebut tentang ubat-ubat tertentu seperti hadis habbatus sauda’ (jintan hitam), berbekam, air kencing unta, susu unta, oud hindi dan seumpamanya; para ulama berbeza pendapat tentangnya. Ada yang berpendapat hadis-hadis ini berasaskan wahyu. Ada pula yang berpendapat bahawa hadis-hadis ini Nabi s.a.w sebut berasaskan pengalaman, persekitaran dan zaman baginda hidup, bukanlah wahyu daripada Allah S.W.T.
Secara umumnya, ulama Hadis cenderung kepada pendapat bahawa hadis-hadis perubatan yang sahih itu berasaskan wahyu. Dalam ertikata lain ia adalah perkhabaran daripada Allah S.W.T kepada nabiNya s.a.w. Maka, semuanya kandungannya benar tepat dan untuk diamalkkan. Ertinya, ia perubatan yang mendapat pengiktirafan daripada Allah S.W.T sendiri. Maka, dalam kitab-kitab hadis didetilkan perkara-perkara ini sehingga dalam Sahih al-Bukhari ada Kitab al-Tibb (Kitab Perubatan). Ibn al-Qayyim dalam al-Tibb al-Nabawi berpegang dengan pendapat ini.
Golongan kedua seperti al-Qadi ‘Iyadh, Ibn Khaldun, Muhammad Abu Zahrah berpendapat bahawa hadis-hadis perubatan ini bukan berteraskan wahyu, sebaliknya Nabi s.a.w bercakap berdasarkan pengalaman dan persekitaran baginda ketika itu. Bagi ulama yang berpegang dengan pendapat ini mereka menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak diutuskan sebagai ahli perubatan dan itu bukan tujuan baginda diutuskan. Maka, ucapan atau tindakan baginda dalam perubatan sama seperti ahli masyarakat Arab lain ketika itu dan tidak semestinya tepat dengan realiti perubatan. Antara yang berpegang dengan fahaman ini al-Imam Ibn Khaldun (w. 808H) dalam kitabnya al-Muqaddimah.
Kata Ibn Khaldun:
“Maka perubatan yang diriwayatkan dalam syarak (hadis) kepada kita adalah dari jenis perubatan arab, sedikit pun bukan dari wahyu. Ia hanyalah perkara yang menjadi kebiasaan arab. Apa yang disebut keadaan Nabi s.a.w dalam hal ini termasuk dalam jenis adat dan jibiliyyah (tabiat kebiasaan) bukan kerana ia disyariatkan amal sedemikian rupa. Ini kerana Nabi s.a.w diutuskan untuk mengajar syariat, bukan untuk memperkenalkan perubatan atau adat kebiasaan yang lain” (Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, 493-494. Beirut: Dar al-Fikr).
sumber dari: drmaza.com
No comments:
Post a Comment