Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Saturday 22 June 2013

RINGKASAN PERJALANAN HIDUP IMAM AL-SYAFI’I RAHIMAHULLAH




manhaj aqidah imam syafie


Tajuk perbahasan pada kali ini akan membincangkan tentang seorang tokoh Islam yang agung dan dikenali oleh rata-rata umat Islam di Timur dan Barat sehingga tidak ada majlis-majlis ilmu melainkan disebutkan di dalamnya nama beliau, iaitu Imam Al-Syafi’i rahimahullahu Ta’ala. Beliau rahimahullah cukup dikenali oleh Umat Islam.

Imam Al-Syafi’i rahimahullah hidup dalam keadaan yatim di bumi Gaza, Palestin. Beliau telah menghafal Al-Quran ketika masih muda iaitu sebelum umurnya tujuh tahun. Beliau hidup dalam keadaan sangat miskin mengenangkan beliau adalah seorang yatim. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala telah melimpahkan ke atasnya nikmat kecerdikan dan kepintaran, di samping ibu yang sangat memberikan keprihatinan di dalam menjaga beliau.

Apabila guru kepada Imam Al-Syafi’i melihat kepandaian dan kepantasan minda beliau, Imam Al-Syafi’i adakalanya diangkat menggantikan tempat gurunya di dalam mengajar anak-anak murid gurunya.
Ibunya merasa risau menyebabkan ibunya membawanya ke Makkah supaya Imam Al-Syafi’i dapat terus menerima tarbiyah serta pendidikan sebaik mungkin. Makkah pada masa itu menjadi pusat ilmu. Kepintaran minda yang dimiliki oleh Imam Al-Syafi’i adalah kelebihan yang diberikan oleh Allah ‘Azza wa Jalla ke atas manusia seperti mana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْـرًا يُـفَـقِـهْهُ فِي الدِّيْنِ
“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, dia akan diberikan kefahaman terhadap agama.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Imam Al-Syafi’i rahimahullah telah memberikan penekanan dalam tiga perkara;

Pertama, beliau rahimahullah telah memberikan penekanan di dalam menghafal Kitabullah (Al-Quran) dengan hafalan yang tepat lagi sempurna.

Penekanan kedua adalah Bahasa Arab, kerana Bahasa Arab adalah asas dan kunci kepada memahami Al-Quran dan Al-Sunnah. Selamanya seorang penuntut ilmu tidak akan dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dan RasulNya sallallahu ‘alaihi wasallam kecuali dengan menguasai Bahasa Arab. Adapun memahami agama dengan selain Bahasa Arab, kita akan bergantung kepada penterjemah.

Perkara ketiga, Imam Al-Syafi’i rahimahullah memberi penekanan kepada Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini membuatkan beliau telah menghafal dengan sempurna kitab Al-Muwattha’ (karangan Imam Malik) di Makkah sebelum beliau mencapai umur 20 tahun. Kemudian barulah beliau bermusafir ke Madinah untuk bertemu Imam Malik.

Imam Al-Syafi’i rahimahullah berulang alik di antara Makkah dan Madinah, dan beliau telah menghimpunkan sebanyak mungkin ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik sehingga Imam Al-Syafi’i rahimahullah menjadi hujjah serta rujukan di dalam bahasa Arab secara khasnya.

Setelah itu, berlaku satu perkembangan yang cukup penting di dalam kehidupan Imam Al-Syafi’i di mana ia telah memberi kesan di dalam halatuju kehidupan beliau. Beliau rahimahullah telah mengenali satu metod pembelajaran berdasarkan Madrasah Al-‘Iraq di dalam memahami agama.

Pemerintahan ‘Abasiyah pada masa itu telah mengadaptasikan mazhab Hanafi sebagai mazhab pegangan, di mana mereka mengangkat para ulama Hanafi sebagai rujukan, dan menjadikan sistem kehakiman turut merujuk kepada mazhab Hanafi. Maka Imam Al-Syafi’i bermusafir ke Baghdad untuk mengambil ilmu dari Muhammad bin Al-Hasan Al-Syaibani rahimahullahu Ta’ala iaitu anak murid kepada Imam Hanafi sendiri.

Di antara ciri mazhab Hanafi pada masa itu adalah memberi penekanan kepada masalah-masalah berkaitan muamalah dan juga jual beli mengakibatkan penumpuan lebih kepada permasalahan-permasalahan seperti ini.
Baghdad pada masa itu menjadi pusat ilmu kepada umat Islam di mana ramai di kalangan ulama menetap di Baghdad, dan di situ jugalah Imam Al-Syafi’i bertemu dengan ulama-ulama hadis antaranya Imam Ahmad rahimahullah dan selainnya. Di sinilah Imam Al-Syafi’i memulakan penulisan buku-buku utama beliau. Beliau telah menulis kitab Al-Risalah Al-Uula yang menghimpunkan ilmu Usul Fiqh dan Mustalah Hadis. Di dalamnya beliau rahimahullah menghimpunkan ilmu salaf yang mengandungi kaedah-kaedah dasar dan prinsip-prinsip salaf. Apa yang dilakukan oleh Imam Al-Syafi’i ini dianggap suatu yang cukup penting dan sangat berfaedah dan tidak dilakukan oleh Ulama-ulama pada masa itu.

Selepas itu, satu peristiwa yang cukup penting berlaku di Iraq. Ulama Ahli Kalam dan Muktazilah telah berjaya menguasai keadaan. Mereka telah menyebarkan fahaman bahawa Al-Quran itu makhluk di kalangan masyarakat Umat Islam. Ini membuatkan para Ulama bertindak untuk menyanggah pemahaman yang sesat ini, seperti Imam Ahmad dan Imam Muhammad Al-Khuza’i rahimahumallahu Ta’ala.

Ini membuatkan Imam Al-Syafi’i mengambil keputusan keluar dari Iraq. Beliau berpindah ke Madinah dan membaca semula kitab Al-Muwattha’. Kemudian Imam Al-Syafi’i mula berfikir untuk bermusafir ke Mesir. Beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Mesir kerana ingin menyelamatkan akidahnya dari akidah Ahli Kalam dan juga Muktazilah.

Apabila tiba di Mesir, beliau berdepan dengan musibah yang kedua pula. Beginilah dilema yang dihadapi oleh orang-orang Ghuraba (asing) dalam agama, hidup di dalam keadaan asing, tetapi tetap berada di dalam kebaikan di saat manusia lain telah rosak. Apa yang dihadapi di sana ialah beliau terpaksa berdepan dengan masalah taksub (fanatik) mazhab Imam Malik rahimahullahu Ta’ala. Beliau bersungguh-sungguh menyanggah sifat taksub mereka itu dengan lisannya dan penanya sehingga ramai dari kalangan Umat Islam kembali kepada kebenaran, alhamdulillah.

Inilah perjalanan agung yang dilalui Imam Al-Syafi’i rahimahullah yang mengambil tempoh kira-kira 50 tahun di mana hasilnya beliau telah menghimpunkan perkataan ulama dan ilmu-ilmu kaedah dan prinsip.



sumber dari: ustazidrissulaiman.wordpress.com

No comments:

Post a Comment