Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Monday 17 June 2013

Cincin Nabi Hilang






Khaitamah berjalan pantas menuju ke Masjid Nabi. Apabila sampai dia terus masuk mencari Khalifah Uthman Affan. Dilihatnya beliau sedang berbaring dengan beralaskan sehelai kain. Melihat kedatangan Khaitamah,  Khalifah Uthman segera duduk bersila.
“Selamat pulang wahai Khaitamah. Bagaimana keadaan di Syam (Syria)? Adakah gabenor berlaku adil pada orang ramai?” tanya Khalifah Uthman. Dia gembira menyambut kepulangan Khaitamah.
“Muawiyah berlaku adil dan dia disayangi penduduk Syam.” Jawab Khaitamah.
“Bagaimana pula Abu Zar Ghifari?” tanya Khalifah.
“Dia seorang yang jujur dan suka berterus terang. Tetapi Muawiyah tidak marah kepadanya walaupun disindir oleh Abu Zar Ghifari.” Jawab Khaitamah.
“Apa yang dikatakan oleh lelaki itu pada Muawiyah?” tanya Khalifah lagi.
“Dia tak bercakap depan Muawiyah tetapi selalu berucap kepada penduduk Syam dengan mengatakan harta bagi disedekahkan bukan untuk disimpan. Ramai yang menganggap kata-kata itu ditujukan kepada Gabenor Syam iaitu Muawiyah,”jawab Khaitamah lalu menceritakan Abu Zar kurang senang melihat kemewahan hidup Gabenor Syam, Muawiyah.
“Apakah Muawiyah menyimpan hartanya? Benarkah dia hidup dengan bermewah-mewah?” tanya Khalifah Uthman.
“Setahu saya Muawiyah membina tempat kediaman yang kukuh untuk keselamatan diri dan keluarganya. Dia menyimpan harta dalam baitulmal sebagai persiapan sekiranya berlaku peperangan,” jawab Khaitamah.
“Adakah terjadi permusuhan antara Muawiyah dengan Abu Zar? Mengapa dia menyuruh saya memanggil Abu Zar pulang ke Madinah?” tanya Khalifah lagi.
“Muawiyah tidak marah kepada Abu Zar. Mereka berdua tidak bermusuhan. Cuma ucapannya itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Kerana itu Muawiyah memohon kerjasama khalifah memanggil Abu Zar pulang ke Madinah,” jawab Khaitamah.
“Saya tidak marah kepada Abu Zar dan Muawiyah. Kedua-duanya lelaki yang baik,” puji Khalifah Uthman.
“Saya mencadangkan supaya Abu Zar dilantik menjadi gabenor. Mungkin cara ini dapat menutup mulutnya,” cadang Khaitamah.
Namun Khalifah Uthman tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana Abu Zar tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin.
“Amirul Mukminin, tuan memerintah dengan adil. Cuma saya mencadangkan tuan jangan bersendirian. Wujudkan beberapa orang pengawal bagi menjaga keselamatan tuan. Ini disebabkan tuan seorang ketua negara. Keselamata tuan perlu dijaga. Tambahan pula musuh-musuh berada di mana-mana,” kata Khaitamah sambil meluahkan rasa bimbangnya pada keselamatan Khalifah Uthman.
“Saya tidak akan melantik pengawal. Cukuplah Tuhan saja yang menjaga saya,” kata Khalifah.
“Tidakkah tuan tahu ada kumpulan yang tidak menyukai tuan? Mereka mahu tuan meletak jawatan supaya diganti dengan orang lain?” tanya Khaitamah.
“Saya tahu, tapi saya tidak akan tunduk dengan ugutan mereka,” tegas Khalifah Uthman Affan.
Perbualan mereka terhenti apabila datang seorang perempuan tua lalu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, saya sudah tua dan tidak mempunyai pembantu. Perigi terletak jauh dari rumah saya menyebabkan saya sukar mendapat air. Tuan seorang yang dermawan, dapatkah tuan menggali sebuah perigi berhampiran dengan rumah saya?”
“Saya akan selesaikan masalah makcik,” kata Khalifah Uthman sambil melahirkan rasa simpati kepada pada perempuan tua itu.
Kemudian Khalifah Uthman menyuruh seorang lelaki menggali perigi berhampiran rumah perempuan tua itu. Selepas kerja menggali perigi itu siap. Khalifah Uthman pergi melihatnya. Dia berdiri di tepi perigi itu sambil bermain-main dengan jarinya. Tiba-tiba cincin yang dipakainya terjatuh ke dalam perigi itu.
“Tolong carikan cincin itu sampai dapat,” perintah Khalifah Uthman.
Para pembantunya berusaha mencari cincin tersebut. Mereka menimba air perigi itu sampai kering namun yang dicari masih lagi tidak ditemui. Khalifah Uthman berasa sangat susah hati. Cincin itu sebenarnya kepunyaan Rasulullah, cincin itu digunakan sebagai cop rasmi khalifah. Khalifah Abu Bakar dan Umar juga menggunakan cincin tersebut sebagai cop rasmi khalifah.
“Wahai Amirul Mukminin, pada pendapat saya, dengan hilangnya cincin nabi itu, petada buruk akan berlaku kepada tuan,” kata Khaitamah sambil menasihatkan Khalifah Uthman supaya berwaspada.
Selepas kejadian itu, Khalifah Uthman menempah cincin baru yang serupa dengan cincin Rasulullah untuk dijadikan cop rasmi khalifah. Tidak lama kemudian, beberapa sahabat nabi meninggal dunia. Antaranya Abu Sufian, Abdul Rahman Auf, Abbas Abdul Muttalib, Abu Darda’, dan Miqdad bin Amru. Khalifah Uthman berasa amat sedih dengan kehilangan mereka.
Benarlah kata Khaitamah, tidak berapa lama kemudian berlakulah satu peristiwa yang bakal memisahkan umat Islam kepada beberapa kelompok. Mereka saling membenci dan mendendam antara satu sama lain. Dimulai dengan pembunuhan Khalifah Uthman dan berterusan hingga muncul puak Syiah, Khawarij, Mu’tazilah, Sunni. Bacalah sejarah, bacalah kisah terdahulu, ambil pengajaran daripadanya dan jangan ulanginya sekali lagi. Kerana orang beriman tidak melakukan kesilapan berulang kali..


sumber dari: tarikhulbasyar.blogspot.com

No comments:

Post a Comment