Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Saturday 22 June 2013

prinsip Imam Al-Syafi’i rahimahullah




khalifah


PRINSIP PERTAMA: BERPEGANG DENGAN AL-KITAB & AL-SUNNAH DAN TIDAK MENOLAKNYA DENGAN TAKWIL

Di antara prinsip utama yang menjadi pegangan Imam Al-Syafi’i adalah berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunnah dan tidak menolak suatu pun daripadanya dengan apa juga bentuk takwil atau penyelewengan. Beliau sangat memberi penekanan supaya berpegang dengan Sunnah sehingga beliau dinamakan sebagai Nasir Al-Sunnah (Pembela Sunnah).

Beliau memerintahkan pengikutnya supaya terus berpegang dengannya (Sunnah Nabi), dan mengharamkan mereka menyelisihi Al-Quran dan Al-Sunnah, dan menjadikan prinsip beliau, “Sekiranya hadis itu sahih maka itulah mazhabku”.

Beliau rahimahullah berkata, “Apabila kamu dapati kata-kataku bercanggah dengan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam maka hendaklah kamu mencampakkan kata-kataku ke dinding.”

Juga beliau mengatakan, “Aku beriman dengan Allah dan dengan apa yang diturunkan oleh Allah berdasarkan apa yang dikehendaki oleh Allah. Aku juga beriman dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang dibawakan oleh Baginda mengikut apa yang dikehendaki oleh Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.”
Juga termasuk dalam apa yang sangat penting dan ditekankan oleh beliau rahimahullah adalah prinsip berpegang dengan hadis-hadis ahad dalam akidah.

Kalau kita lihat pada perkataan Imam Al-Syafi’i, beliau rahimahullah tidak akan menolak hadis dengan apa juga takwil ataupun penyimpangan. Bahkan beliau berpegang dengan zahir nas, sejajar dengan zahir nas-nas itu berdasarkan Bahasa Arab dan apa yang difahami oleh generasi Salaf Al-Soleh.

Juga di antara kata-kata beliau adalah Al-Quran dan Al-Sunnah sama sekali tidak akan bercanggah di antara satu sama lain.

PRINSIP KEDUA: TIDAK MENYANGGAHI NAS DENGAN HUJAH AKAL

Prinsip kedua beliau adalah tidak menyanggah Al-Quran atau Sunnah dengan hujah akal. Beliau mengatakan, “Seperti mana pandangan mata ada had dan batasnya, begitu jugalah dengan akal manusia memiliki had dan batasnya.”

Maka di sisi Ahli Sunnah wal Jama’ah, nas Al-Quran dan Al-Sunnah sama sekali tidak akan bercanggah dengan akal manusia yang sihat. Adapun perselisihan berlaku antara keduanya apabila munculnya ilmu kalam (pemahaman Ahli Kalam yang mendahulukan akal berbanding nas) yang tidak menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai hujah sebaliknya mereka menjadikan falsafah dan akal mereka sebagai hujah.

PRINSIP KETIGA: PENEKANAN TERHADAP PEMAHAMAN PARA SAHABAT

Prinsip ketiga adalah penekanan terhadap perkataan atau pemahaman para sahabat radhiyallahu ‘anhum ardhahum. Imam Al-Syafi’i rahimahullah sangat menjunjung tinggi kedudukan para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau rahimahullah telah menghimpunkan banyak atsar ataupun kata-kata para Sahabat dan juga salaf di dalam buku-buku karangan beliau.

Beliau mengatakan, “Sesungguhnya para sahabat lebih mendahului kita kepada kebaikan berbanding kita, dan kefahaman mereka lebih baik daripada kefahaman kita.”

Inilah perkara yang menjadi ijma’ (kesepakatan) Ulama Salaf sepanjang zaman, berbeza dengan pegangan Ahli Bid’ah serta golongan yang mengagungkan Syaikh-syaikh serta Ulama mereka.

PRINSIP KEEMPAT: MENJAUHI BID’AH DAN AHLI BID’AH

Prinsip keempat adalah menjauhi bid’ah dan ahli bid’ah. Beliau rahimahullah sangat membenci bid’ah dan juga orang-orang bid’ah, dan beliau selamanya tidak akan duduk bersama mereka kecuali kerana darurat atau untuk mengajarkan mereka agama mereka. Ini kerana beliau risau kalau terkesan dan terpengaruh dengan dakyah-dakyah mereka. Maka untuk kita menjauhi golongan bid’ah menjadi satu penawar buat kita dari terkesan dengan penyakit mereka.

Beliau rahimahullah apabila melihat ahli bid’ah beliau berkata, “Sama ada kamu berbincang dengan kami dengan cara yang baik ataupun lebih baik kamu beredar sahaja.”

PRINSIP KELIMA: MENCINTAI SESAMA SAUDARA ISLAM & MENJAGA SILATURRAHIM

Prinsip kelima adalah mencintai sesama saudara Islam serta menjaga tali sillaturrahim sesama mereka. Beliau rahimahullah sanggup menggadaikan hartanya pada jalan Allah Ta’ala, dan bersabar di dalam menanggung kemiskinan dan kesusahan, dan beliau juga bersabar terhadap kezaliman pemerintah.
Inilah prinsip-prinsip penting dan utama yang menjadi pegangan Imam Al-Syafi’i rahimahullah.


sumber dari: ustazidrissulaiman.wordpress.com

No comments:

Post a Comment