Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Thursday 3 October 2013

Kanun Perubatan






Kanun Perubatan Bahasa Arab: القانون في الطبAl-Qanun fi al-Tibb; Bahasa Parsi: قانون در طب Ghānoon dár tèb; (Bahasa Inggeris: The Canon of Medicine; Bahasa Latin: Canon Medicinae; Bahasa Cina: 回回藥方 / 回回药方 Huíhui Yàofāng "Preskripsi Bangsa Hui")[1][2] ialah sebuah ensiklopedia perubatan yang dikarang oleh cendekiawan Islam, ahli sains dan falsafah, dan doktor berbangsa Parsi, Ibnu Sina ("Avicenna"). Kitab agung ini diselesaikan pada tahun 1025 M.[3]

Kitab ini menggabungkan pengalaman peribadi Ibnu Sina, perubatan Islam pada Zaman Pertengahan, penulisan doktor Rom Kuno Galen,[4] doktor Ayurveda India dan perubatan Parsi kuno,[5] dengan tambahan aspek materia medika negeri China.[6] Kitab Kanun Perubatan dikarang dalam bahasa Arab dan kemudian di diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain, termasuk bahasa Parsi, Latin, Cina, Ibrani, Jerman, Perancis dan Inggeris.[7] Kanun dianggap salah satu buku termasyhur dalam sejarah perubatan.[8]
Juga dikenali dengan nama sengkatan Kanun ataupun Qanun (yang bermaksud "hukum" dalam bahasa Arab dan Parsi), Kanun Perubatan kekal berwibawa dalam bidang perubatan sehingga kurun ke-18 M.[9] dan awal kurun ke-19.[10] Ia meletakkan piawai bagi perubatan di Eropah dan dunia Islam, dan merupakan karya bertulis termasyhur Ibu Sina bersama dengan Kitab Penyembuhannya. Kanun digunakan di banyak sekolah perubatan— misalnya di Universiti Montpellier, Perancis, selewat tahun 1650.[8] Kebanyakan bukunya turut diterjemahkan ke dalam bahasa Cina sebagai Huihui Yaofang oleh orang Hui pada zaman China Yuan.[11] Kanun juga menjadi asas perubatan Unani, suatu bentuk perubatan tradisional yang diamalkan di India.

Prinsip-prinsip perubatan yang diterangkan dalam Kanun yang dihasilkan sepuluh abad lalu masih diajar, antara lain, di Universiti California dan Universiti Yale di Amerika Syarikat, sebagai sebahagian sejarah perubatan.

Kanun Perubatan merupakan sebuah ensiklopedia yang besar dan menyeluruh dan karangannya mengambil masa yang lama. Ia mengandungi lebih sejuta perkataan dan dibahagikan kepada lima "buku":
  1. Prinsip Am Amalan Perubatan
  2. Rawatan Ringkas
  3. Penyakit Setempat
  4. Penyakit Am
  5. Pengubatan Campuran ("Formulari")[12]
Buku pertama, juga dikenali sebagai al-Kulliyat, membincangkan prinsip-prinsip am perubatan dan sering kali diedarkan berasingan daripada bahagian-bahagian lain, terutamanya di Eropah. Buku kedua berkaitan ubat-ubatan ringkas dan materia medika ("bahan pengubatan"), mengikut abjad. Buku ketiga berkaitan rawatan (terapi), diatur mengikut bahagian yang sakit, dari kepala hingga ke jari kaki, dan dimuatkan dalam 22 bab atau funun. Buku keempat berkaitan penyakit yang tidak terhad kepada bahagian tubuh tertentu, misalnya, demam, sementara buku kelima pula memberikan resipi bagi pengubatan atau ubat-ubat campuran. Antara tahun 1500 dan 1674, sebanyak 60 edisi sebahagian atau kesemua Kanun diterbitkan di Eropah, kebanyakannya bagi kegunaan latihan perubatan universiti. [13]

Kitab ini menerangkan punca kesihatan dan penyakit. Ibnu Sina berpegang bahawa tubuh manusia tidak dapat dipulihkan sekiranya penyebab kedua-dua kesihatan dan penyakit tidak dipastikan. Beliau memberi definisi perubatan (tibb) seperti berikut:
"Ilmu perubatan ialah sains bagaimana kita mengetahui berbagai keadaan tubuh; semasa sihat, semasa sakit; cara-cara kesihatan boleh hilang; dan, bila ia hilang, cara-cara memulihkannya. Dalam kata lain, ia merupakan seni berkaitan kesihatan dan seni memulihkan kesihatan apabila ia tidak wujud."[14]
Ibnu Sina membincangkan anatomi manusia di merata tempat dalam Kanun, dan sering kali bahagian-bahagian anatomi ini disalin sebagai treatis berasingan. Seorang ahli perubatan Islam pada Zaman Pertengahan, Ibn al-Nafīs (meninggal 1288/678 H) mengulas akan satu daripada treatis tersebut dan bukan sahaja mengkritik Ibnu Sina kerana tidak mengumpulkan perbincngan anatominya, tetapi juga memberi maklumat baharu tentang edaran pulmonari. Ibn al-Nafis memperbetulkan penulisan Ibnu Sina, yang berasaskan penulisan Galen, dan menyatakan bahawa darah dari ventrikel (ruang) kanan jantung mesti sampai ke ventrikel kiri melalui paru-paru (edaran pulmonari) dan tidak melalui liang-liang di jantung seperti yang dikatakan Galen. Ibn al-Nafis mendahului pemeriannya tentang edaran pulmonari tiga ratus tahun sebelum ahli anatomi Eropah, Michael Servetus (m. 1553) dan Realdo Colombo (m. 1559), orang Europah pertama yang memerikan edaran pulmonari.[13]

Kanun juga dianggap buku farmasi pertama,[15][16] dan antara lain, buku ini dikenali kerana memperkenalkan pengujikajian sistematik dan pengkuantitian dalam pengajian fisiologi.[17] penemuan sifat menular penyakit berjangkit, pengenalan kuarantin untuk mengehad penyebaran penyakit berjangkit, dan pengenalan kepada perubatan uji kaji dan bidang-bidang kecilnya.[18]

Bahagian materia medika Kanun (Buku II dan Buku V) membicarakan 800 ubat yang diuji dan memuatkan ulasan berkaitan kegunaan dan keserasian ubatan tersebut.[6] Beliau juga menyarankan agar ubat baharu diuji pada binatang dan manusia sebelum digunakan secara am.

Kanun memuatkan penulisan berkaitan ujian klinikal,[19] ujian terkawal terawak,[20][21] ujian kemujaraban,[22][23] farmakologi klinikal,[24] neuropsikiatri,[25] psikofisiologi,[26] dan idea sindrom dalam diagnosis penyakit tertentu.[27]

Kanun memerikan bahawa dietetik itu penting, pengaruh cuaca dan alam sekitar terhadap kesihatan, dan kegunaan ubat anestesia yang dimakan dalam prosedur-prosedur pembedahan.[28]
Selain itu Kanun juga mengandungi nasihat berkaitan onkologi (rawatan barah).


sumber dari: ms.wikipedia.org

No comments:

Post a Comment