Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Thursday, 15 November 2012

Peperangan Yarmouk





20 Ogos 636: Peperangan Yarmouk

Peperangan Yarmouk berlaku pada 20 Ogos 636 Masihi bersamaan dengan 15 Hijrah di antara tentera Islam dan tentera Rom Byzantine. Peperangan ini dinamakan Peperangan Yarmouk kerana ia berlaku berdekatan dengan sungai Yarmouk di Jordan. Ahli Sejarah menganggap peperangan ini sebagai peperangan terpenting dalam sejarah dunia kerana ia merupakan pembuka tirai bagi kemenangan-kemenangan umat Islam yang seterusnya di Luar Semananjung Tanah Arab dan membawa kepada penguasaan umat Islam sepenuhnya di bumi Syam dan Iraq.

Tentera Islam dipimpin oleh Khalid Ibn Walid (r.a), manakala tentera Rom pula dipimpin oleh Theodore the Sacellarius dan Baanes. Seramai 70,000 orang tentera Rom telah keluar berperang berbanding tentera muslimin yang hanya 41,000 orang sahaja. Namun begitu, dengan izin Allah Ta'ala, tentera muslimin telah dapat mengalahkan tentera Rom yang terkenal dengan kelengkapan perangnya dan ini merupakan kemenangan yang cukup bermakna bagi seluruh umat Islam.

Kekalahan tentera Rom di dalam peperangan Yarmouk menjadikan jalan ke Baitul Maqdis terbuka luas. Lalu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah (r.a) meminta supaya Khalifah Umar bin Al-Khattab (r.a) datang ke bandar Al-Quds kerana penduduk bandar Al-Quds tidak mahu menyerah kecuali selepas kehadiran Khalifah umat Islam untuk menerima penyerahan kunci bandar tersebut. Lantas Khalifah Umar bin Al-Khattab (r.a) pergi ke Baitul Maqdis pada tahun 15 Hijrah bersamaan 636 Masihi serta memberi jaminan keamanan kepada penduduk di sana serta berjanji untuk menjamin keselamatan jiwa, harta dan tempat-tempat ibadat mereka serta tidak membenarkan orang-orang Yahudi untuk tinggal bersama mereka di bandar Al-Quds. Khalifah Umar bin Al-Khattab (r.a) telah memberi kebebasan beragama kepada penduduk bandar Al-Quds dengan cara membayar Jizyah. Beliau juga menolak permintaan salah seorang paderi untuk mendirikan solat di dalam gereja Kristian supaya masyarakat tidak terikut-ikut untuk melakukan tindakan yang sama. Kemudian beliau pergi ke kawasan Masjid Al-Aqsa lalu menyapu kotoran yang terdapat pada batu As-Sakhrah, dan seterusnya beliau membina sebuah masjid di sudut sebelah selatan tempat tersebut. Masjid tersebut kini dikenali dengan nama Masjid Umar dan pernah dibakar oleh Yahudi dalam peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969.


sumber dari: amanpalestin.net

No comments:

Post a Comment