Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Sunday 2 December 2012

Pandangan Orientalis dan Syiah Terhadap Talhah dan Zubair r.a.






Orientalis dan golongan Syiah menggambarkan Talhah r.a. dan Zubair r.a. sebagai dua orang sahabat yang mempunyai cita-cita politik yang tinggi. Digambarkan bahawa Talhah r.a. ingin menguasai Yaman dan Zubair r.a. ingin menguasai Iraq.

Ini adalah dakwaan yang tidak berasas. Kita sebagai pengikut ahli sunnah wal jamaah sepatutnya meletakkan sahabat r.a. keseluruhannya pada kedudukan tinggi dan mulia. Itulah wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kita: 

“Sahabat-sahabatku seumpama bintang-bintang di langit. Sesiapa yang kamu jadikan sebagai ikutan, nescaya kamu akan mendapat petunjuk.”

Punca dakwaan-dakwaan tersebut adalah kerana mereka meletakkan sahabat-sahabat r.a. sama seperti manusia biasa yang lain. Dikaji sebagai tokoh-tokoh dalam sejarah yang mempunyai sifat-sifat kelemahan sebagai manusia sehingga sampai ke peringkat menafikan ketulusan jiwa dan keikhlasan mereka. Mereka diletakkan sama seperti Ghandi, Abraham Lincoln, Karl Marx, Lenin, Stalin dan tokoh-tokoh yang lain; ada pencapaian hebat yang mereka lakukan di samping ada kesilapan yang boleh dikritik tanpa batas. Sedangkan kita dalam mengkaji kisah-kisah sahabat r.a. tidak akan sekali-kali mengaitkan kesilapan ijtihad mereka dengan ketulusan niat dan keikhlasan mereka dalam mencari redha Allah. Paling jauh kita akan mengatakan bahawa mereka berijtihad dan silap dalam ijtihad. Itu sahaja dan tidak lebih dari itu. Mereka mendapat pahala dari ijtihad mereka. Apa yang mereka lakukan hanya kerana ingin menyatukan umat Islam, membersihkan kota Madinah dan masyarakat Islam pada masa itu dari penguasaan pemberontak; niat yang dikongsi bersama dengan semua sahabat r.a. termasuk Saidina Ali r.a. Jadilah seperti apa yang diarahkan oleh Allah kepada kita:

“dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (iaitu Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa Kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatMu.” 
(Al-Hasyr: 10)

Selain dari prinsip kita di dalam memberikan satu kedudukan yang tinggi kepada sahabat r.a., peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum perisitiwa ini juga menyokong pandangan kita. Talhah r.a. dan Zubair r.a. adalah dua dari 10 sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w. Kedua-duanya adalah di antara sahabat terawal memeluk Islam. Kedua-dua mereka didakwahi oleh Saidina Abu Bakar r.a. 10 sahabat yang dijamin masuk syurga adalah satu kelompok terbaik sesudah para Nabi a.s. Talhah dan Zubair r.a. di antaranya.

Mereka telah bersama Islam untuk satu tempoh yang panjang. Bersama bukan sahaja ketika kegembiraan di peristiwa pembukaan Mekah atau ketika ketika Islam berjaya memerdekakan al-Quds di zaman Saidina Omar r.a.. Juga bukan sahaja ketika empayar Parsi keseluruhannya tumbang setelah pukulan terakhir tentera Islam di bawah pimpinan Saad r.a. Tetapi juga bersama dalam setiap kedukaan; di dalam peperangan Uhud, di dalam peristiwa Hudhaibiah, kisah fitnah Aisyah r.a., peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w., pembunuhan Saidina Omar dan Saidina Osman r.a. dan lain-lain kisah duka. Mereka bersama Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun, bersama Saidina Abu Bakar selama dua tahun, bersama Saidina Omar selama 10 tahun dan bersama Saidina Osman selama 12 tahun. Selama lebih 47 tahun bersama pimpinan-pimpinan Islam di dalam suka dan duka, bersama-sama melakar sejarah dan memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Sepanjang tempoh ini tidak pernah kedengaran berita atau desas desus pembelotan mereka. Bagaimana pula tiba-tiba ketika Islam di dalam keadaan yang paling lemah ini, ketika semua sahabat r.a. menolak untuk menjadi khalifah, mereka dikatakan mempunyai cita-cita politik tersendiri? Ini adalah dakwaan yang tidak berasas.

Oleh kerana itu, methodologi kita lebih tepat di dalam menafsirkan sejarah. Segala-galanya nampak berkait dengan kemas.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang 47 tahun itu, kita nampak satu lagi peristiwa yang melengkapkan tanggapan kita dan menolak tanggapan orientalis dan golongan Syiah adalah peristiwa bai’ah Saidina Ali r.a. Sesudah Saidina Ali r.a. memberikan persetujuan, berlakulah majlis bai’ah sebagaimana yang berlaku pada khalifah-khalifah sebelumnya. Para sahabat r.a. adalah orang-orang yang telus. Siapa yang memberikan bai’ah, dia memberikan bai’ah dalam keadaan sedar dan ikhlas. Sesiapa yang tidak bersetuju, menyatakan ketidaksetujuannya seperti nama-nama yang dituliskan di awal artikel ini.

Orang pertama yang memberikan ba’iah sudah tentulah orang yang penting dan yang paling setia kepada khalifah yang baru ini. Orang pertama ini penting kerana umat Islam akan melihat dan mencontohi mereka. Siapakah orang pertama yang memberikan bai’ah kepada Saidina Ali r.a.? Orientalis dan Syiah tidak suka kita mendedahkan hakikat ini. Orang pertama yang memberikan bai’ah adalah Talhah bin Ubaidillah r.a. Dia naik memberikan bai’ah lalu berkata:

“Kami telah berbincang dan kami redha Ali sebagai khalifah. Wahai umat, berbai’ailah kepadanya. Ada pun tentang pembunuhan Osman, kita katakan bahawa kita serahkan urusannya kepada Allah.”

Orang kedua yang memberikan bai’ah pula adalah Zubair bin Awwam r.a. Dia naik dan mengulangi kata-kata Talhah r.a.



sumber dari: ainohikari-kun.blogspot.com

No comments:

Post a Comment