Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Friday 7 December 2012

Gelaran As-Siddiq yang diberikan






Saidina Abu Bakar adalah seorang sahabat yang terkenal kerana keteguhan imannya, cerdas akal, tinggi akhlak, lemah lembut dan penyantun. Rasulullah S.A.W. pernah menyanjungi sahabatnya itu dengan sabdanya, "Jika ditimbang iman Abu Bakar As-Siddiq dengan iman sekalian ummat, maka berat lagi iman Abu Bakar. Demikian teguhnya iman Saidina Abu Bakar jika kita memperhatikan pengertian yang terkandung pada sabda Rasulullah S.A.W mengenai dirinya itu. Gelaran As-Siddiq yang diberikan orang terhadap Saidina Abu Bakar adalah lantaran sikap serta pendiriannya yang teguh dalam membenarkan serta membela Rasulullah S.A.W. Andai sekalian ummat manusia mendustakan Muhammad S.A.W, Abu Bakar R.A. akan pasti tampil dengan penuh keyakinan untuk membelanya.

Tidak berapa lama setelah memeluk Islam, Saidina Abu Bakar yang terkenal sebagai saudagar yang kaya itu telah meninggalkan perdagangannya dan meninggalkan semua usaha peribadi lainnya lalu menyerahkan segenap kekayaan dan jiwa raganya untuk perjuangan menegakkan Islam bersama Nabi Muhammad S.A.W. Beliau telah mengorbankan seluruh harta bendanya untuk menebus tawanan, orang-orang yang ditangkap atau disiksa. Selain itu beliau juga telah membeli hamba-hamba yang kemudian dimerdekakannya. Salah seorang hamba yang dibelinya lalu dibebaskan ialah antara yang terkenal dalam sejarah iaitu Bilal Bin Rabah.

Setelah berlakunya Isra' dan Mikraj, segolongan orang yang kurang mempercayai apa yang telah dikhabarkan Rasulullah S.A.W. telah pergi menemui Saidina Abu Bakar untuk mendengarkan pendapatnya tentang dakwaan Nabi Muhammad S.A.W. itu. Tujuan kedatangan mereka mendapatkan Saidina Abu Bakar tidak lain dengan sangkaan tentunya beliau kali ini akan mendustakan kisah yang tidak masuk akal pada fikiran mereka itu. Setelah berita itu disampaikan kepada Saidina Abu Bakar, lalu beliau pun berkata, "Adakah Muhammad berkata begitu? Sahut mereka, "Benar! Maka ujar Saidina Abu Bakar R.A. "Jika Muhammad berkata begitu maka sungguh benarlah apa yang diceritakan itu. Lalu mereka pun terus menyambung, "Engkau percaya hai Abu Bakar bahawa malam tadi Muhammad sampai ke tanah Syam yg mengambil masa lebih sebulan perjalanan? Maka sahut Abu Bakar dgn bersungguh-sungguh, "Benar! Aku percaya! Malah lebih dari itu pun aku percaya kepadanya. Aku percaya akan berita dari langit yang diberitakannya baik pada waktu siang mahupun malam!

Demikian hebatnya kepercayaan sahabat yang paling utama itu. Kerana tegas dan teguhnya iman beliau terhadap agama yang dibawa oleh Muhammad dan terhadap apa yang dikhabarkan oleh baginda, maka beliau telah diberi oleh Rasulullah S.A.W. dengan gelaran As-Siddiq, ertinya yang benar.

Dan tidak menghairankan langsung sikap Abu Bakar itu. Beliau telah mengenali Rasulullah S.A.W. bukan sehari dua, tetapi sudah boleh dikatakan seumur manusia. Beliau tahu bahawa sahabatnya itu berkata benar, tak pernah berbohong;Al- Amin. Mustahil baginda akan mengkhianati pengikut yang percaya kepadanya. Beliau mengimani sahabatnya itu Pesuruh Allah Yang Maha Kuasa, menerima wahyu daripada Allah. Beliau sudah bertahun-tahun mengikut petunjuk yang diwahyukan Allah kepada sahabatnya itu, maka amat teguhlah iman dalam hatinya. 



sumber dari: al-ghurabaa90.blogspot.com

No comments:

Post a Comment