Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Monday 10 December 2012

kepimpinan Saidina Umar





1. Dikeluarkan oleh Ibnu Abdul Hakam daripada Abu Soleh Al-Ghifari katanya: “Amru bin Al-‘As telah menulis sepucuk surat kepada Umar bin Al-Khattab r.a.: “ Sesungguhnya kami telah menyiapkan rancangan untuk membina sebuah rumah untuk kamu berhampiran dengan masjid jamek.”

Kemudian Umar r.a. menulis jawapan surat Amru bin Al-‘As. Beliau menulis: “ Sesungguhnya aku adalah seorang lelaki biasa dari tanah Hijaz di mana rumahnya mestilah berada di tengah-tengah kota.” Maka Umar r.a. memerintahkannya agar menjadikan rumah tersebut sebagai pasar untuk kaum muslimin.
(Sebagaimana dalam Al-Kanz. )

2. Dikeluarkan oleh Ibnu Abdul Al-Hakam daripada Abu Tamim Al-Jaishani r.a. katanya: “ Umar bin Al-Khattab telah menulis sepucuk surat kepada Amru bin Al-‘As: Amma Ba’du! Telah sampai ke pengetahuanku bahawa kamu telah membuat mimbar yang lebih tinggi daripada tengkuk kaum muslimin. Apakah yang menghalang kamu supaya berkhutbah dalam keadaan berdiri dan kaum muslimin berada di bawahmu. Aku menegaskan kepadamu agar merobohkannya.
(Sebagaimana dalam Al-Kanz. )

3. Dikeluarkan oleh Muslim daripada Abu Usman r.a. katanya: “ Umar r.a. telah menulis surat kepada kami dan kami berada di AZERBAIJAN : Ya Utbah bin Farqad! Sesungguhnya harta ini bukanlah dihasilkan daripada usaha kamu, bapa kamu mahupun ibu kamu. Kenyangkanlah kelaparan kaum muslimin di khemah-khemah mereka dengan makanan yang boleh mengenyangkan mereka dari perkhemahan kamu. Hendaklah kamu menghindari dari kehidupan bermewah-mewah dan meniru-niru cara kehidupan ahli syirik dan memakai pakaian sutera.
(Sebagaimana dalam At-Targhib. )

4. Dikeluarkan oleh Ibnu Asakir daripada Urwah bin Royam sesungguhnya Umar bin Al-Khattab r.a. sentiasa ingin mengetahui akan hal ehwal kaum muslimin. Pada suatu hari penduduk HAMAS telah datang menemuinya. Beliau pun bertanya kepada mereka: “ Bagaimanakah keadaan amir (pemimpin) kamu? ” Mereka menjawab: “ Beliau seorang yang baik melainkan beliau telah membina tingkat atas di dalam rumahnya di mana beliau tinggal di sana.

Kemudian Umar r.a. pun menulis sepucuk surat kepadanya melalui seorang penghantar surat dan memerintahkan penghantar surat tersebut membakar tingkat atas rumahnya itu. Apabila beliau sampai di sana, dia pun mengumpulkan kayu lalu membakar pintu ke bilik itu.

Apabila amir tersebut diberitahu mengenai apa yang berlaku, beliau memerintahkan orang supaya membiarkan penghantar surat itu kerana dia merupakan orang utusan khalifah. Kemudian beliau pun mengambil surat yang dibawa oleh utusan itu. Belum sempat beliau menyimpan surat itu, beliau pun menunggang kudanya untuk menemui Umar r.a.

Apabila beliau sampai di hadapan Umar r.a., Umar pun memerintahkannya supaya menemaninya ke Harra di mana terdapat banyak unta yang disedekahkan di sana. Umar r.a. pun menyuruh lelaki itu mencampakkan pakaiannya.

Kemudian Umar menyuruh lelaki itu memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu unta dan menyuruhnya supaya melepaskan seekor selepas seekor dan memberikan minuman kepadanya. Amir itu melakukan apa yang disuruh oleh Umar r.a. sehingga beliau keletihan akibat turun dan naik atas unta tersebut. Selepas itu Umar pun bertanya kepadanya: “ Bilakah kamu membina tingkat atas itu?

Beliau menjawab: “ Baru lagi ya amirul mukminin.” Umar r.a. pun berkata: “ Kamu telah membina tingkat atas tersebut untuk menyusahkan orang ramai yang berurusan dengan kamu. Kamu duduk di atas tempat yang tinggi daripada orang-orang miskin, yatim dan fakir. Kembalilah jalankan tugas kamu dan janganlah ulangi perbuatan kamu itu.
(Sebagaimana dalam Kanzul Ummal. )

5. ( i ) Dikeluarkan oleh Ibnu Al-Mubarak, Ibnu Rahawiah dan Musaddad daripada ‘Itab bin Rifa’ah katanya: “ Telah sampai ke pengetahuan Umar r.a. bahawa Saad r.a. telah membina sebuah istana untuknya dan membina sebuah pintu gerbang di hadapan istana tersebut. Beliau juga berkata bahawa dia telah pun bebas daripada rungutan dan aduan orang ramai. Kemudian Umar r.a. pun mengutuskan Muhammad bin Maslamah r.a. Kebiasaannya Umar r.a akan melakukan sedemikian rupa jika beliau mahu sesuatu itu dilakukan mengikut kehendaknya. Beliau berkata kepada Muhammad: “ Pergilah kamu kepada Saad dan bakarlah pintu gerbang itu.”

Muhammad pun tiba di KUFAH, apabila beliau sampai di pintu gerbang itu, beliau pun mula membakarnya. Seseorang telah datang kepada Saad untuk memberitahunya mengenai kejadian itu dan menjelaskan kepadanya akan sifat orang membakar pintu tersebut dan dengan demikian Sa’ad pun mengetahui siapakah orang tersebut bahawa beliau adalah Muhammad bin Maslamah lalu keluar menemuinya.

Muhammad berkata kepada Sa’ad: “ Amirul mukminin telah diberitahu bahawa engkau telah berkata bahawa engkau telah bebas daripada rungutan dan aduan orang ramai.” Sa’ad berkata: “ Demi Allah! Aku tidak berkata sedemikian.” Muhammad berkata: “ Aku hanya melakukan apa yang telah diperintah ke atasku untuk melakukannya dan menyampaikan kepada amirul mukminin apa yang telah engkau katakan.”

Kemudian Muhammad meminta Sa’ad agar memenuhi bekalan untuk perjalanannya kembali ke MADINAH tetapi Sa’ad enggan untuk menunaikan permintaannya itu. Muhammad pun kembali ke Madinah. Apabila Umar r.a. melihat kedatangan Muhammad, beliau pun berkata kepadanya: “Aku kira kamu belum lagi menyempurnakan tugasmu? ” Muhammad berkata: “ Aku telah melakukannya dan beliau memberikan alasan dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak berkata sedemikian.”

Umar r.a. pun bertanya: “Adakah beliau telah memberikan hadiah kepadamu? ” Muhammad menjawab: “ Negeri IRAQ adalah miskin dan penduduk kota di sekelilingku mati kelaparan. Oleh yang demikian, aku agak keberatan untuk memaksanya atas yang sedemikian itu dan engkau akan memperoleh yang sejuk dan aku akan memperoleh yang panas ( kamu akan menikmatinya sedangkan aku akan merasakan kepanasan api neraka ).

Tidakkah kamu mendengar Rasulullah SAW. telah bersabda: “ Seorang mukmin itu tidak boleh memenuhkan perutnya sedangkan jiran-jirannya dalam kelaparan.”



sumber dari: ringgoredz.blogspot.com

No comments:

Post a Comment