Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Monday 10 December 2012

melakukan solat jamak biarpun kita tidak musafir






Soalan : Selama ini saya hanya melakukan solat jamak dan qasar semasa balik kampung sahaja. Saya baru tahu bahawa kita boleh melakukan solat jamak biarpun kita tidak musafir. Boleh Ustaz jelaskan?

Jawapan:

Solat jamak dan qasar adalah keringanan daripada Allah s.w.t untuk kita. Keringanan itu hanya boleh dilakukan dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja. Selain daripada keadaan tersebut, semua solat fardu mesti dilakukan pada masa dan bilangan rakaat yang telah ditetapkan.

Allah berfirman, maksudnya “Sesungguhnya solat adalah kewajipan (yang telah ditetapkan” ke atas orang beriman pada masa-masanya” Surah al-Nisa ’4:103

Adalah berdosa sesiapa yang menjamakkan atau mengqasarkan solat tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Umar al-Khattab pernah berkata: “Termasuk dosa besar adalah menjamakkan solat tanpa uzur” (Riwayat al-Baihaqi).

Sebab yang membolehkan solat Qasar berbeza dengan solat jamak. Para ulama sepakat bahawa qasar hanya boleh dilakukan oleh musafir dalam perjalanan jauh sahaja. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ” Dan apabila kamu bermusafir, maka tidak mengapa bagi kamu mengqasarkan solat jika kamu khuatir gangguan daripada orang kafir..”(Surah al-Nisa 4:101)

Imam al-Nawawi berkata “Boleh qasar dalam perjalanan untuk solat Zuhur, Asar dan Isyak. Tidak boleh bagi solat Subuh dan Maghrib. Juga tidak boleh qasar dalam keadaan tidak musafir. Ini adalah perkara yang menjadi ijmak para ulama” (Al-Majmu’ jil.4. hlm.148)

Jamak solat disebabkan kesulitan.

Adapun solat jamak pula boleh dilakukan ketika bermusafir dan beberapa sebab lain. Menurut mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali, jamak takdim boleh dilakukan pada saat hujan lebat di Masjid bagi orang yang solat berjemaah.

Mazhab Syafi’i pula membolehkan jamak untuk Zuhur dan Asar, atau Maghrib dan Isyak. Manakala mazhab Maliki dan Hanbali hanya membolehkan jamak ini bagi solat Maghrib dan Isyak sahaja.

Mazhab Hanbali turut menetapkan bahawa selain musafir dan juga, menjamakkan solat juga dibolehkan kerana sakit dan hajat yang mendesak. Alasannya, kedua-dua perkara ini menyebabkan kesukaran melebihi kesukaran yang dihadapi oleh musafir dan orang yang ditimpa hujan. Jika bermusafir dan hujan boleh menjadi alasan untuk dijamakkan solat, maka sakit dan hajat yang mendesak tentu lebih boleh lagi.

Walaubagaimanapun, faktor sakit dan keperluan mendesak ini tidak dibenarkan dalam mazhab Syafi’i secara dasarnya. Namun begitu, tidak sedikit ulama mazhab Syafi’i antaranya Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’nya yang menyokong bahawa dibolehkan menjamakkan solat solat kerana sakit. Al-Khatib al-Syarbini juga berkata dalam Mughni al-Muhtaj dan al-Iqna: “Pendapat ini lebih sesuai dengan keindahan syariat Islam”.

Mazhab yang paling sempit dalam soal solat jamak ialah mazhab Hanafi. Mereka hanya membolehkannya untuk jemaah haji ketika wuquf di Arafah dan mabit (bermalam) di Mina sahaja.



sumber dari: alustaz.net

No comments:

Post a Comment