Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Saturday 1 December 2012

"gerbang ilmu" -Sayyidina Ali Khalifah Islam Keempat.






Sahabat nabi yang sangat cerdik dan luas ilmu pengetahuannya.
Jelas terbukti kecerdikan menantu dan sepupu nabi ini apabila
Rasulullah SAW memberi julukan kepada beliau di dalam
hadisnya sebagai "gerbang ilmu".

Apabila wafatnya Khalifah Islam ketiga, Sayyidina Uthman bin Affan,
maka Sayyidina Ali dilantik menjadi Khalifah Islam yang keempat.
Maka dengan itu, lengkaplah bilangan anggota dalam
senarai Khulafa' Ar-Rasyidin,
pemimpin Islam yang utama selepas pemergian junjungan mulia,
Nabi Muhammad SAW.



* * *


Sayyidina Ali Karamallahu wajhah
(Allah memuliakan wajahnya)
pernah berkata:


"Allah SWT mengetahui betapa aku tidak suka memimpin pemerintahan
atau memegang kuasa dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW
sebab aku mendengar sendiri baginda bersabda:

'Tidak ada seorang penguasa pun yang memerintah umatku,
yang kelak tidak akan dihadapkan kepada rakyatnya,
untuk diperlihatkan catatan-catatan perbuatannya.

Jika dia seorang yang adil, maka selamatlah.
Tapi jika dia seorang yang berlaku zalim,
akan tergelincirlah ke dalam Neraka.'"



Telah ditakdirkan Allah SWT, Sayyidina Ali pergi
meninggalkan umat Islam buat selama-lamanya pada
17 Ramadhan tahun 40 Hijrah.

Tarikh yang tidak akan kita lupakan kerana berlakunya
tragedi hitam pembunuhan kejam Sayyidina Ali oleh
pemberontak yang rakus.

Pemberontak yang buta dengan kepentingan diri.

Ketika itu, Sayyidina Ali sedang berjalan kaki
menuju ke masjid untuk menunaikan solat fardhu Subuh.
Tiba-tiba muncul lelaki bernama Abdul Rahman bin Muljam
dengan pedang erat di tangan.
Bersedia bila-bila untuk menerkam
dan menembusi tubuh Ali.

Pedang itulah yang telah mencederakan
Sayyidina Ali dengan parah hingga beliau rebah.

Sayyidina Ali kemudiannya telah diusung
pulang ke rumahnya oleh sahabat-sahabat.


* * *

Ketika itu ramai yang ingin membalas dendam
terhadap apa yang berlaku tetapi Sayyidina Ali sendiri
dengan lapang dada dan ikhlas langsung tidak menyebut
soal balas dendam di depan sahabat-sahabatnya.


Umat Islam berasa sedih melihat keadaan
Sayyidina Ali yang semakin lemah.
Sayyidina Ali tahu bahawa sudah hampir masanya
untuk beliau menyusuli Rasulullah SAW dan
tiga orang Khalifah baginda sebelum ini.


Dalam keadaan sangat yang sungguh berat itu,
Sayyidina Ali k.w.h. sempat berwasiat:


"Ku wasiatkan kepada kamu supaya tetap
bertaqwa kepada Allah.

Janganlah kamu mengejar-ngejar dunia
walau dunia mengejar kamu
dan janganlah menyesal jika ada
sebahagian dunia itu terlepas darimu.

Hendaklah kamu mengatur baik-baik urusan kamu
dan jagalah hubungan persaudaraan antara kalian.
Ketahuilah, pertengkaran itu merosakkan agama dan
ingatlah bahawa tidak ada kekuatan apa pun
selain atas perkenan Allah.

Perhatikan anak-anak yatim agar jangan
sampai mereka kelaparan dan
jangan sampai kehilangan hak.
Perhatikan Al Quran, jangan sampai kamu
mendahulukan orang lain
dalam mengamalkannya.

Perhatikan tetangga kamu kerana mereka
adalah wasiat Nabi kamu."



sumber dari: ajwadaie.blogspot.com

No comments:

Post a Comment