Saidina
Osman r.a. menjadi Khalifah selama 12 tahun di mana pada enam tahun kedua
pemerintahannya, umat Islam secara keseluruhan ditimpa dengan satu ujian yang
tidak pernah berlaku sebelum ini. Sesetengah pihak menggambarkan krisis tersebut
sebagai bukti kelemahan pentadbiran Saidina Osman r.a. Gambaran yang seumpama
ini berpunca dari kajian yang tidak mendalam terhadap sejarah Khulafa’
al-Rasyidin atau niat yang buruk terhadap para sahabat r.a. Mereka lupa bahawa
Saidina Osman r.a. adalah wakil umat Islam di dalam peristiwa perjanjian
Hudhaibiah; tugas yang tidak sanggup dipikul oleh Saidina Omar r.a. Beliau juga
adalah sahabat yang membiayai pembinaan perigi al-Raumah untuk kegunaan umat
Islam. Beliau juga adalah sebahagian sahabat yang membiayai kelengkapan perang
bagi orang-orang yang tidak mampu. Di zaman pemerintahannya, beliau berjaya
mengumpulkan al-Quran dengan pelbagai qiraat kepada satu mushaf (mushaf Osmani).
Beliau juga yang mula-mula menubuhkan tentera laut bagi umat Islam dan berjaya
menyeberangi laut Mediterenian membuka pulau Cyprus. Di zamannya umat Islam
berada dalam keadaan yang cukup baik dari sudut pencapaian material.
Tetapi satu
perkara yang tidak ada di zaman sebelumnya, wujud di zaman Saidina Osman .r.a.,
iaitu gerakan Saba’iyah yang diketuai oleh Abdullah bin Saba’. Abdullah bin
Saba’ adalah seorang Yahudi yang mempunyai kecerdikan luar biasa. Gerakannya
berkembang di zaman pemerintahan Saidina Osman r.a. Gerakan ini berjaya
mempengaruhi sebahagian umat Islam pada masa itu terutamanya yang duduk jauh
dari pusat pemerintahan Islam, Madinah. Lahirlah sekumpulan pemberontak dari
Mesir yang diketuai oleh Ghafiqi al-Harb dan bergabung dengan pemberontak dari
Kufah dan Basrah. Mesir, Kufah dan Basrah tidak dapat dikawal oleh Gabenor
masing-masing pada ketika itu. Mereka membentuk satu kumpulan pemberontak
berjumlah hampir 10,000 orang dan berjaya mengepung rumah Saidina Osman r.a.
selama 40 hari. Kepungan itu berakhir dengan pembunuhan Saidina Osman
r.a.
Di saat
umat Islam masih lagi dalam keadaan bingung, ketua pemberontak, Ghafiqi al-Harb
mengambil kesempatan menjadi imam di masjid Nabawi selama lima hari
berturut-turut. Satu usaha untuk menempatkan dirinya dan kumpulannya. Sebahagian
dari umat Islam mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri. Sebahagian yang
lain dipimpin oleh baki 10 sahabat yang dijamin masuk syurga dan baki tentera
Badar memujuk Saidina Ali r.a. untuk menjadi Khalifah bagi umat
Islam.
Saidina Ali
r.a. yang pada mulanya keberatan akhirnya menerima jawatan tersebut setelah
diasak oleh permintaan yang bertalu-talu itu. Berlakulah bai’ah. Muhajirin dan
Ansar masing-masing diwakili oleh perwakilan mereka untuk memberikan
bai’ah.
Isu yang
hangat diperkatakan dan menjadi buah mulut umat Islam ketika itu adalah isu
qisas terhadap pembunuh-pembunuh Saidina Osman r.a. Tiga orang muslim; Walid bin
Uqbah, Said bin al-As dan Marwan bin al-Hakam secara terang-terangan menolak
untuk memberikan bai’ah selagi mana Saidina Ali r.a. tidak menjatuhkan hukum
qisas ke atas golongan pemberontak. Satu gambaran keadaan berat yang menghantui
umat pda masa itu. Manakala yang lain menyerahkan kepada kebijaksanaan Saidina
Ali r.a. untuk menyelesaikannya.
sumber dari: ainohikari-kun.blogspot.com
No comments:
Post a Comment