Siapa yang tidak kenal sahabat Rasulullah s.a.w, Saidina Umar al Khattab r.a yang memikul amanah sebagai seorang khalifah selepas Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a. Beliau merupakan seorang khalifah yang juga terulung dalam dunia awal Islam. Terdapat suatu kisah menarik antara beliau dan Saidina Khalid al Walid r.a pada zaman pemerintahan beliau.
Saidina Khalid al Walid r.a merupakan seorang tokoh hebat dalam medan peperangan dan telahpun dilantik sebagai Panglima Perang sebelum zaman pemerintahan Saidina Umar al Khattab. Sememangnya kepercayaan masyarakat Islam pada waktu tersebut amat tinggi terhadap kebolehan dan kehebatan Saidina Khalid al Walid r.a.
Namun apa yang memeranjatkan, setelah takhta khalifah diwariskan kepada Saidina Umar al Khattab r.a, beliau bertindak memecat Saidina Khalid al Walid dengan menggantikan Abu Ubaidah r.a untuk jawatan tersebut. Tindakan ini amat mengecewakan kebanyakan orang ramai dan menimbulkan perasaan tidak puas hati.
Walau bagaimanapun, Saidina Khalid al Walid r.a menerima keputusan tersebut dengan tenang dan berterusan taat terhadap kepimpinan Saidina Umar al Khattab r.a.
Jika dibaca kisah di atas hanya dengan biji mata sahaja, maka sudah tentu perasaan kita turut menyebelahi pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan Saidina Umar r.a. Namun apa yang tersirat sebenarnya jauh lebih halus dari apa yang kita sangkakan.
Soal keyakinan dalam semua perkara yang dilakukan dan menyerah diri hanya kepada Allah s.w.t sahaja amat penting dalam aqidah setiap muslim. Aqidah pula merupakan jantung kepada agama yang kita cintai ini. Jika rosak dan bermasalah jantung tersebut, maka tumbanglah agama kita.
Hikmah Saidina Umar menurunkan pangkat Khalid dan digantikan dengan Abu Ubaidah antaranya ialah agar ia mampu menyedarkan ummat Islam bahawa penyerahan diri dalam setiap perkara walaupun dalam soal peperangan hanya kepada Allah s.w t. Kebimbangan Umar terhadap ummat Islam yang keterlaluan mengagung-agungkan Saidina Khalid al Walid r.a menyebabkan beliau melucutkan jawatan Saidina Khalid al Walid r.a.
Hikmah peristiwa di atas juga adalah menggambarkan bagaimana seorang yang ikhlas dalam mentaati Allah taala, Saidina Khalid al Walid r.a yang tidak kecewa dengan tindakan Saidina Umar r.a, kerana beliau meyakini bahawa beliau pergi berperang bukan untuk habuan dunia, tetapi untuk habuan akhirat, bukannya mengharapkan habuan pangkat di dunia.
Seterusnya, hikmah lain yang boleh diambil adalah ketaatan Saidina Khalid al Walid r.a terhadap seorang pemerintah, khalifah, Saidina Umar al Khattab r.a adalah wajib dalam Islam selagi mana ia berlandaskan syariat Islam. Langsung tiada kepentingan dalam kedua-dua individu mulia di atas, Saidina Umar al Khattab r.a dan Saidina Khalid al Walid r.a untuk mendapatkan sebahagian habuan dunia tetapi apa yang mereka harapkan adalah keredhaan dari Allah taala.
Wallahua’lam
sumber dari: irhafiz.wordpress.com
No comments:
Post a Comment