Kami tiba di hotel ketika azan subuh sayup-sayup dilaungkan. Selepas menurunkan beg dan barang di lobi hotel saya dan jemaah lain bergegas ke masjid Nabawi yang terletak beberapa meter dari hotel penginapan Al-Firdaos.
Kami tiba lewat sedikit selepas menguruskan urusan check in hotel. Namun masih sempat berjemaah bersama rombongan yang dipimpin oleh Ustaz Saidi. Saya melihat suasana di dalam masjid. Walaupun saya berada di bahagian belakang namun saya dapat rasakan ketenangan di sini. Salah seorang jemaah telah berjaya solat dan berdoa di raudhah. Raudhah merupakan salah satu daripada taman-taman syurga. Salah satu tempat yang mustajab doa mengikut hadith nabi saw.
Saya menghabiskan masa selama 2 hari di sini bersama rombongan jemaah. Setiap waktu dimanfaatkan dengan melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran di masjid nabawi yang menjanjikan ganjaran yang besar. Alhamdulillah, saya dapat melakukan solat sunat dan berdoa di dalam kawasan raudhah beberapa kali. Dapat juga saya menziarahi makam Nabi saw, Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan ialah bila dapat masuk ke dalam raudhah. Berebut-rebut jemaah dari seluruh pelosok dunia datang untuk mendapatkan keberkatan di ruang yang kecil ini. Tempat nabi berdoa, mimbar Nabi adalah kawasan raudhah. Memang cantik.
sumber dari: abuwafi98.wordpress.com
No comments:
Post a Comment