IBNU TAIMIYYAH  adalah seorang tokoh yang telah muncul pada abad ketiga belas dan empat  belas. Beliau telah membawa suatu pemikiran yang sering dan masih  dikaji hingga kini oleh sarjana moden samada di kalangan orientalis  mahupun Islam. Ibn Taimiyyah telah mempelajari secara khusus ilmu Fiqh  dan Usul daripada bapanya selain daripada ilmu-ilmu lain. Bapanya  merupakan salah seorang pembesar ulama Mazhab Hanbali di kota itu, juga  seorang guru di Dar Al-Hadith Al-Sukkariyyah serta mempunyai kerusi khas  untuk mengajar di Masjid Damsyiq.
Lantaran  ketekunannya belajar, Ibn Taimiyyah telah menguasai begitu banyak cabang  ilmu Islam seperti: Al-Quran, Al-Hadith, Aqidah, Fiqh dan Bahasa Arab.  Beliau juga memiliki kebolehan di bidang Matematik, Fizik dan Falsafah.  Beliau telah menamatkan pengajian formalnya sebelum berusia dua puluh  tahun. Ibn Taymiyyah telah memberikan seluruh hidupnya untuk berkhidmat  kepada dakwah dan ilmu pengetahuan. Di antara bidang utama yang  diberikan perhatian khususnya di dalam penulisannya ialah: Tafsir, Ilmu  Kalam, Falsafah dan Tasawwuf serta Fiqh.
IBNU RUSYD  atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad lahir di Kardova  pada tahun 1126. Beliau ahli falsafah yang paling agung pernah  dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas  didunia Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat di Eropah. Di Barat,  beliau dikenal sebagai Averroes.
Keturunannya  terdiri daripada golongan yang berilmu dan ternama. Bapanya dan datuknya  merupakan kadi di Kardova. Oleh itu, beliau telah dihantar untuk  berguru dengan Ibnu Zuhr yang kemudiannya menjadi rakan karibnya. Ibnu  Rusyd mempelajari ilmu fiqh dan perubatan daripada rakannya yang juga  merupakan tokoh perubatan yang terkenal di Sepanyol, Ibnu Zuhr yang  pernah bertugas di sebagai doktor istana di Andalusia. Sebelum meninggal  dunia, beliau telah menghasilkan bukunya yang terkenal Al Taysir. Buku  itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris dengan  judul Facilitation of Treatment.
IBNU SINA  merupakan doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang  perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh para  sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussian Ibnu  Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.
Ibnu Sina  dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 Masihi. Pengajian  peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera.  Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri,  logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan. Walaupun Ibnu Sina  menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau  lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor  ataupun mahaguru ilmu tersebut.
Ibnu Sina mula  menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn  Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan  kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau  diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
IBNU KHALDUN  atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abu  Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan 732H. Ibn  Khaldun mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti al-Quran,  al'Hadith, perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, dan  mantik. Antara gurunya ialah Muhammad Ibrahim al-Abili, Abu Abd Allah  al-Jayyani, Abd Allah Muhammad bin Abd al-Salam.
Ibn Khaldun  menjadi cendekiawan yang agung sehingga disanjung oleh Barat kerana buah  fikirannya, Walau bagaimana pun jarang umat Islam mengkajinya.  Sebenarnya, sumbangan pemikiran Ibn Khaldun dalam ekonomi banyak  dimuatkan dalam hasil karya agungnya, al Muqaddimah. Antara teori  ekonomi yang terdapat dalam karyanya masih lagi relevan dengan masalah  ekonomi semasa. Ibn Khaldun telah membincangkan beberapa prinsip dan  falsafah ekonomi seperti keadilan (al-adl), hardworking, kerjasama  (cooperation), kesederhanaan (moderation), dan fairness.Berhubung dengan  keadilan (Justice), Ibn Khaldun telah menekankan bahawa keadilan  merupakan tulang belakang dan asas kekuatan sesebuah ekonomi. Apabila  keadilan tidak dapat dilaksanakan, sesebuah negara akan hancur dan  musnah.
sumber dari: aljanggut.blogspot.com

No comments:
Post a Comment