Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Wednesday 31 July 2013

Madinah : Masjid Nabawi




Haram? Kenapa pulaknya panggil tempat tuh Haram? Tempat tuh kan masjid, tempat beribadat.

Semasa baru tiba di Madinah, saya sedikit terkejut bila Abang mengatakan, penduduk Madinah memanggil Masjid Nabawi dengan panggilan Haram. Jadi, janganlah terkejut sekiranya anda terdengar perbualan penduduk Madinah yang berkisar tentang Haram

Haram (حرام) bermaksud haram atau tegahan (seperti yang kita fahami) dan juga bermaksud suci (حرم) jika disebut dengan tanpa alif.

Tapi, kenapa pulak jadi Haramain? Dua pulak tuh Haramnya.
"Mestilah dua, satu Masjidil Haram (Mekah), satu lagi Masjid Nabawi (Madinah)," jawab Abang sambil tersenyum.

"Ooooo, tapi apa pulak bezanya kalau kita solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dengan solat di masjid-masjid yang lain?" tanyaku lagi.

Nabi s.a.w. pernah menyebut "Pahala sembahyang di Masjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada sembahyang di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram." Riwayat Bukhari dan Muslim.
Solat di Masjidil Haram pula menyamai seratus ribu solat.

"Jadi, rugilah orang yang datang ke Madinah ni dan solat di dalam hotel saja kan Abang?" balasku.
Perkarangan luar Masjid Nabawi
Masjid Nabawi mempunyai pengawal di setiap pintu masuk wanita. Telefon bimbit ( جوال ) berkamera tidak dibenarkan masuk. Saya sudah beberapa kali terkantoi membawa telefon bimbit berkamera dan terpaksa solat di kawasan luar masjid yang tidak berbumbung. Pada awalnya, saya juga musykil dengan peraturan ketat yang dikuatkuasakan. Beberapa kali saya persoalkan di hadapan Abang.

No camera please

"Mak guard buat macam tu, mesti ada sebab. Dia taknak yang perempuan-perempuan nih, ambil gambar sesuka hati barangkali. Kenapa orang perempuan Arab Saudi di sini berniqab?" Abang balas dengan pertanyaan.

Berpusing sekejap kepala mencari sebab berniqab, "Depa takmau  orang laki nampak muka depa la, tapi dalam masjid tuh kan sama-sama perempuan."

"Memanglah sama-sama perempuan. Cuba bayangkan kalau sorang jemaah nih, ambil gambar dalam Haram, dan kebetulan termasuk sekali gambar makcik berniqab nih. Lepas tuh, perempuan nih tunjuk pada suami dia. Kebetulan gambar tuh cantik dan suami yang excited nih pulak share dekat facebook. Rasa-rasanyalah, ada kesan tak kat makcik tuh bila gambar dia tiba-tiba keluar dalam facebook?" Abang memberi penjelasan.

Terdapat pelbagai jenis bangsa yang mengunjungi Haram sepanjang tahun dan semuanya Muslim! Kalau dahulu, semasa saya belajar di Southampton, saya dapat mengenal pelbagai jenis bangsa juga, tetapi kelompok Muslimnya bukanlah seramai ini. Tetapi kali ini saya rasakan berbeza, disebabkan semua yang datang adalah Muslim! Saya akan selalu bertanyakan pada Abang tentang negara asal masyarakat yang bertali arus di Haram.
Makcik Arab Saudi - memakai abaya hitam yang meleret menyapu lantai, shayla/selendang dan niqab, 
Makcik Pakistan dan India dengan style macam kita lihat dalam filem Hindustan,
Makcik Mesir dengan pakaian yang pelbagai,
Makcik Iran dengan kain Cedarnya (rupa seakan-akan kain cadar),
Makcik Iraq dengan contengan di muka, ada juga yang memakai jubah hitam seakan-akan dari Iran,
Makcik Malaysia dan Indonesia dengan kain telekungnya,
Makcik Jordan dan Syria dengan pakaian kot labuhnya dan
yang paling saya sukai adalah Makcik Turki! Kenapa pula Turki? 

Makcik-makcik dari Iran, Arab Saudi dan Pakistan

Makcik Turki, selalunya memakai pakaian berwarna beige, terkenal dengan sifat peramahnya, suka bertegur sapa, pemurah dan mempunyai jati diri yang sangat tinggi! Saya sangat suka! Kenapa? Makcik-makcik Turki nih, saya rasakan sama seperti orang Malaysia kita ni, tak pandai berbahasa Arab. Tetapi saya kagum  dengan keyakinan mereka yang sangat tinggi. Mereka dengan ramahnya menyapa sesiapa sahaja di dalam Haram sambil tersenyum dalam bahasa Turki! Ya, berbahasa Turki. Saya pernah menyaksikan Makcik Iran dan Makcik Turki bersembang dengan sangat ramah. Saya mengagak, seorang cakap bahasa Turki, seorang cakap bahasa Iran. Tapi, dari perbualan mereka, saya dapat mengagak apa yang diperbualkan. 

Tetapi awas! Jika anda nampak sekumpulan makcik-makcik tua Turki sedang berjalan berpimpinan tangan, dinasihatkan anda agar tidak cuba memutuskan/merempuh barisan kumpulan yang sedang berjalan itu. Nampak saja berumur, tetapi makcik-makcik nih kuat! Barangkali sifat prihatin makcik-makcik ini agar tiada kawan mereka tertinggal atau sesat di negara orang menyebabkan mereka tidak sengaja melanggar kita. Mungkinkah disebabkan sikap masyarakat Turki yang sangat prihatin, peramah, pemurah ini menyebabkan kerajaan Turki Uthmaniyyah pernah gah suatu ketika dahulu?

Saya rasa sangat bersyukur kepadaNya kerana mengurniakan saya nikmat untuk pergi ke Haram boleh dikatakan setiap hari  kerana Abang menghadiri kelas di situ selepas Asar dan Maghrib. Namun begitu, disebabkan saya tidak boleh bertutur dalam bahasa Arab, saya hanya dapat memerhatikan keletah manusia di dalam Masjid.

Pada awalnya, Abang mengajar saya membalas sekiranya sesiapa menyapa saya dalam bahasa Arab. "Saya tidak boleh berbahasa Arab" atau dalam bahasa Arabnya " أنا لا أتكلم باللغة العربية ". Terbeliak jugaklah mata makcik Arab di sebelah bila saya membalas begitu. Yelah, cuba bayangkan kalau anda bertanya kepada seseorang, "Can you speak English?" dan orang itu membalas dalam English juga "Sorry, I can't speak English." (But the fact that the person replied to you in English, makes you think that the person is trying to ignore you). Mesti confuse orang yang bertanya.

Selepas ada sedikit peningkatan dalam bahasa Arab, Abang mengajar pula " أتكلم شويّ ". Tetapi, di kala gelabah dan terlupa ajaran tok guru, saya hentam je broken Arabic. Boleh tahan juga bersembang dengan Arab Saudi nih, walaupun saya sekadar mengagak apa yang cuba dibualkan. Mereka boleh tahan peramah walaupun kami tidak pernah bersua sebelum ini. Mereka sangat-sangatlah memberi semangat dan menasihati agar saya menguasai bahasa Arab dan mengambil peluang belajar al-Quran di sini. 

Bagi yang ingin belajar al-Quran, terdapat kelas al-Quran di Masjid Nabawi selepas waktu Asar pada hari biasa. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya mengambil sedikit masa untuk berlegar-legar melihat keadaan di dalam Haram. Berdasarkan apa yang saya perhatikan, semua kelas al-Quran diadakan bagi kelompok yang bertutur dalam bahasa Arab.

Pernah pada suatu hari, saya terjumpa dengan seorang nenek yang sangat tua, berkerusi roda, tetapi semangatnya masyaALlah, sungguh saya kagumi. Walaupun sudah berumur, beliau masih lagi mempunyai kesungguhan menyertai kelompok pembelajaran al-Quran.


Pembelajaran al-Quran di sini bukanlah sekadar belajar membaca seperti di Malaysia, tetapi di sini, setelah belajar cara-cara sebutan dan bacaan yang betul, pelajar dikehendaki menghafal ayat atau surah yang dipelajari itu. Belum cukup lagi, pelajar dikehendaki pula memperdengarkan bacaan (tasmi') kepada tenaga pengajar. Ya ALlah, Engkau permudahkanlah urusan hambaMu ini dalam menimba ilmu di sini. Nenek tua pon masuk kelas al-Quran, adeeeiiih malunya rasa kat nenek tua tuh.

Dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Ibnu Maajah dan lain-lain menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda:
"Sesiapa yang memasuki masjid kami ini untuk belajar satu kebaikan atau mengajarnya adalah umpama mujahid di jalan Allah, dan sesiapa yang masuk dengan tujuan lain adalah umpama orang yang melihat kecantikan barang orang lain".

Ya ALlah, permudahkanlah urusan hamba-hambaMu dalam menuntut ilmu di bumi yang penuh berkat ini, amin.


sumber dari: ninutdearies.blogspot.com

No comments:

Post a Comment