Siapakah sahabat Nabi Muhammad yang sanggup
membunuh sesiapa sahaja yang berani mengatakan bahawa baginda Rasulullah telah
wafat?
Akibat tidak dapat menerima hakikat, orang yang
paling dikasihi akhirnya pergi menemui Allah, Saidina Umar Al Khattab
menghunuskan pedang dan mengamuk sekeliling kota Mekah. Sehinggalah beliau
berjaya dipujuk dan ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq supaya menerima
hakikat kewafatan Rasulullah itu tiada bezanya seperti manusia-manusia yang
lain.
Kata Abu Bakar: " Sesiapa yang mengikuti
Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah
Allah SWT ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati! " Barulah
Umar akur dan tunduk kepada ketentuan Allah yang berat itu, tidaklah lagi beliau
mengamuk malah mengajak umat Islam yang lain juga menerima hakikat pedih itu
dengan iman dan tabah.
Begitulah Umar, masih tersisa sifat peribadinya
yang tegas, tetap pendirian dan sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan
pendiriannya itu. Sungguhpun begitu beliau sering dijadikan bahan perumpamaan.
Ini apabila Umar diumpamakan seperti sebongkah batu yang sangat keras dan tidak
mungkin sesiapa dapat memecahkannya. Tetapi jika sudah ditakdirkan Allah beliau
akhirnya tunduk memeluk Islam, terbukti batu yang keras pun boleh
dileburkan.
Namun pengislaman Umar yang mempunyai kisah
tersendiri itu bukan sahaja berfaktorkan hidayah tetapi mungkin juga berkat doa
dari Rasulullah. Menurut Al Mubarakfuri dalam buku sirah Nabawiyyah SAW,
Rasulullah sering meminta dan berdoa kepada Allah: " Ya Allah, muliakanlah
Islam dengan salah seorang lelaki yang paling Engkau suka, sama ada Umar bin al
Khattab atau Abu Jahal bin Hisham ".
Ini mungkin kerana di zaman jahiliah kejahatan
Umar dan Abu Jahal begitu melampau terhadap Islam yang seolah-olah tidak mampu
lagi dihadapi oleh baginda. Itu menyebabkan baginda sering berdoa. Ternyata
Allah lebih 'menyayangi' Umar dan diberikannya hidayah dan cahaya Islam.
Sehingga tidak dinafikan tanpa sumbangan dari Umar, perjalanan dakwah baginda
Rasulullah mungkin adalah lebih sukar daripada apa yang kita dapat
bayangkan!
Umar lebih dikenali sebagai Umar Al Faruk.
Iaitu seseorang yang tahu memilih dan membezakan antara yang hak dan batil,
antara benar dan palsu. Gelaran ini diberi oleh Rasulullah semasa beliau membawa
sekumpulan umat Islam bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk
pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaga para jemaah itu
daripada gangguan orang-orang Quraisy.
Nabi Muhammad SAW juga memanggil Umar dengan
panggilan 'Abu Hafs' kerana kegagahannya itu. Daripada seorang yang sangat
petualang kepada Islam di zaman jahiliahnya, tetapi di zaman Islam beliau
seorang pejuang Islam yang paling gigih, kental dan sejati.
Tiada siapa dapat menafikan hakikat itu.
Sehingga dapat menakluk wilayah-wilayah bagi meluaskan jajahan dan empayar Islam
dari Timur ke Barat dan sehinggalah pada tahun 637 beliau berjaya mengembalikan
semula Baitul Maqdis kepada Islam. Dikisahkan selepas pengepungan Baitul Maqdis
yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut yang diketuai oleh
panglima Islam Abu Ubaidah ibn al-Jarrah.
Namun Paderi Besar Baitul Maqdis iaitu
Sophronius enggan menyerah diri kecuali kepada Saidina Umar sendiri. Lalu Umar
mengembara dari Madinah dan apabila bertemu, Paderi itu menyerahkan sendiri
kunci kota itu kepada Saidina Umar.
Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar
bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy
Sepulchre. Saidina Umar menolak. Sebaliknya beliau solat tidak jauh dari gereja
tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat
keagamaan Kristian.
Di samping tidak mahu ada pihak yang salah
faham bahawa jika Umar melakukan solat di gereja itu bermakna khalifah Islam itu
hendak menawan gereja untuk dijadikan masjid. Sehinggalah 50 tahun kemudian,
sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar
solat.
Begitulah antara moral atau akhlak Umar yang
unggul dan sukar ditemui pada mana-mana pemimpin dunia yang lain. Justeru
mengapa tidak kita kembali mengenali Umar kerana segala sifat-sifat yang ada
pada beliau itu wajar sekali disegarkan kembali dalam ingatan. Setelah kembali
segar, mengapa tidak beliau kita contohi?
Sifat-Sifat Peribadi
Seorang yang bersifat berani dan tidak
gentar dalam menegakkan agama Islam juga seorang yang tegas dan adil.
Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah SWT.
Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima
pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan
amanah.
Pernah menyamar sebagai rakyat biasa
walaupun ketika itu beliau memegang jawatan khalifah untuk melihat sendiri
keadaan rakyatnya. Malah beliau sendiri yang mengangkat guni-guni gandum dan
minyak untuk diberi kepada golongan yang memerlukan.
Berfikiran terbuka
Menerima pendapat sahabatnya Abu Bakar
As-Siddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka dikehendaki
membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah hingga pandai dan
orang tua dibebaskan tanpa syarat.
Menerima pendapat seorang perempuan yang
mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan mas kahwin mengikut kemahuan
sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau bersedia ditegur dan
menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat biasa.
Berani
Sebelum memeluk Islam dengan begitu kuat
menentang Rasulullah SAW sehingga menyebabkan beliau sangat ditakuti dan
digeruni oleh orang yang memeluk agama Islam. Namun apabila ' berani kerana
benar ' beliau tidak gentar mengisytiharkan dirinya memeluk Islam secara
terbuka di khalayak ramai.
Satu-satunya Muslim yang berani menunaikan
ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Beliau jugalah yang
mencadangkan Rasulullah SAW supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka.
Sebagai jaminan beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah
SAW daripada berpindah ke Madinah.
Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah,
maka beliau diberi gelaran al-Faruq.
l. Adil
Seorang pemerintah yang adil dan
bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya.
Beliau tidak memilih bulu dan mengetepikan soal status diri dan sesiapa yang
didapati bersalah, tetap akan dihukum.
Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman ke
atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang
Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.
Jasa-jasa dan sumbangan besar Umar terhadap
Islam begitu dijanjikan kepadanya akan syurga. Bagi Umar segala kebaikan yang
beliau lakukan selepas memeluk Islam seolah-olah masih tidak membayar segala
dosa dan kesalahan beliau yang lampau itu.
Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW pernah
ditanya : Siapakah orang yang paling mulia? Jawab baginda : Orang yang
paling bertakwa. Kata mereka : Bukan tentang ini yang kami tanyakan.
Jawab Nabi : Kalau begitu, tentang siapakah orang Arab yang paling mulia yang
kamu ingin tanyakan kepadaku? Sesungguhnya orang paling mulia di kalangan kamu
pada masa jahiliah , dia jugalah yang paling mulia di antara kamu di dalam Islam
sekiranya dia tafaqquh fiddin. (riwayat Bukhari)
Tepat sekali jika yang dimaksudkan oleh baginda
itu antaranya Umar al Khattab. Lebih-lebih lagi setelah beliau memeluk Islam,
beliau tetap disegani dan ditakuti hatta oleh syaitan.
Apakah rahsianya Saidina Umar Al Khattab boleh
mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar
tafaqquh fiddin ( faham agama ). Mukmin yang tafaqquh fiddin memang lebih
ditakuti oleh syaitan dibandingkan dengan orang yang banyak beribadat tetapi
jahil tentang selok belok agama.
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: Ertinya:
Seorang Faqih ( orang yang tafaqquh fiddin ) adalah lebih digeruni oleh
syaitan daripada seribu orang 'abid ( orang yang banyak beribadat ).
(riwayat Tarmidzi, Ibnu Majaah dan al-Baihaqi)
Nama penuh sahabat besar Nabi ini ialah Umar
bin Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b.
Adiy b. Kaab.
Dilahirkan pada tahun 583M daripada Bani Adi
iaitu salah satu puak dalam kabilah Quraisy yang dipandang mulia, megah dan
berkedudukan tinggi. Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti.
Umar memeluk Islam pada tahun keenam selepas kerasulan nabi.
sumber dari: ringgoredz.blogspot.com
No comments:
Post a Comment