Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Monday 29 October 2012

Ziarah Masjid An-Nabawi



Masjid Nabawi



Madinah di pagi itu agak sejuk dan dingin. Lebih kurang pukul 6.30 pagi, saya dan suami turun kebawah diperkarangan hotel untuk membeli sarapan pagi. Emmm… tak sangka, di bumi Madinah ni pun kami masih boleh menikmati nasi lemak seperti berada di Malaysia juga.

Tepat pukul 7.00 pagi, semua jemaah sudah pun berada di luar perkarangan hotel. Kami dibawa oleh muttawif untuk melakukan ziarah luar dan dalaman dipersekitaran Masjid Nabawi. Selesai mendengar taklimat daripada pegawai Tabung Haji, kami pun mulalah berjalan dan bergerak menuju ke Masjid Nabawi yang hanya terletak kira-kira 50m sahaja jaraknya dari hotel. Dengan langkah kanan, saya dan suami memasuki perkarangan Masjid Nabawi melalui pintu gate no.9.

Kami menghabiskan masa ziarah dengan penuh bermakna. Dipagi itu terdapat banyak lagi jemaah haji dari negara lain, antaranya terdapat jemaah haji dari Turki, Indonesia, Pakistan dan juga negara-negara dari Afrika. Sesekali terasa juga kepenatan berjalan kerana perkarangan masjid sememangnya begitu luas. Di suatu bahagian dapat dilihat akan had sempadan dimana lokasi imam berada. Bagi mereka yang ingin melakukan solat berjemaah, kenalah mengambil tempat agak sedikit dibelakang daripada had sempadan dimana lokasi imam berada.

Kubah Hijau
Kubah Hijau

Di suatu bahagian kelihatan kubah hijau dimana terletaknya makam Rasulullah s.a.w. Disini, saya dan suami sama-sama membaca doa untuk kesejahteraan Rasulullah s.a.w. dan juga keluarganya serta para sahabat. Beberapa Hadis ada menyebutkan tentang menziarahi Masjid Nabawi dan makam Rasulullah s.a.w., antara lain bermaksud:

Sesiapa yang datang menunaikan fardhu haji, tidak menziarahiku, maka sesungguhnya dia telah membenciku. Sesiapa yang menziarahiku setelah kematianku adalah serupa dengan menziarahiku semasa hidupku. Sesiapa yang menziarahi kuburku, pasti ia akan memperolehi syafaatku

Perkuburan Baqi
Perkuburan Baqi

Lebih kurang pukul 9.00 pagi, jemaah lelaki dan wanita terpaksa berpecah. Jemaah lelaki dibawa menziarahi perkuburan Baqi manakala jemaah wanita pula dibawa menziarahi dalaman Masjid iaitu ke Raudhah (taman shurga). Kami dibawa ke pintu No.31. Keadaan diketika itu begitu sesak sekali. Raudhah hanya dibuka pada waktu-waktu tertentu sahaja untuk jemaah wanita. Keadaan yang sesak dan berpusu-pusu untuk masuk ke Raudhah adalah perkara biasa. Saya hanya mampu berdoa agar diberi kemudahan untuk menziarahi makam Rasulullah s.a.w.

Kawasan Raudhah
Kawasan Raudhah

Didalam kesesakan tersebut, saya dapat meloloskan diri untuk masuk kedalam Masjid Nabawi. Diketika itu tak sabar rasanya untuk melihat dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w. yang tercinta. Saya mempercepatkan perjalanan namun sendi lutut sudah mulai terasa sengal. Saya memperlahankan perjalanan. Tiba-tiba kembali bertenaga apabila seorang wanita Indonesia menyapa dan terus menemani saya untuk sama-sama ke Raudhah (taman shurga). Tangan saya ditarik oleh wanita Indonesia tersebut untuk cepat sampai. Katanya dia juga tidak sabar untuk melihat sendiri makam Rasulullah s.a.w.

Sebaik sahaja sampai di Raudhah, saya tidak dapat menahan sebak didada dan air mata mengalir tanpa disedari. Ya ALLAH…. saya bersyukur kerana akhirnya sampai juga hajat untuk menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Kawasan Raudhah boleh dikenali kerana tiangnya, walau pun berwarna putih tetapi berlainan dari tiang-tiang yang ada didalam Masjid Nabawi. Begitu juga dengan permaidani yang menutupi kawasan tersebut. Ia mempunyai warna yang berlainan daripada permaidani dibahagian-bahagian lain.

Makam Rasulullah s.a.w.
Makam Rasulullah s.a.w.

Di Raudhah, saya dapat melihat dengan jelas makam Rasulullah serta sahabat, mihrab dan mimbarnya. Oleh kerana kesuntukan masa, saya menghabiskan masa lebih kurang 1 jam di Raudhah dan juga dipersekitaran yang berbumbungkan payung gergasi. Untuk hari-hari berikutnya, saya bertekad untuk menziarahi makam Rasulullah s.a.w. dan juga menghabiskan banyak masa diwaktu paginya di Raudhah. Bagi jemaah wanita, Raudhah hanya dibuka bermula pada pukul 7.00 pagi sehingga 10.00 pagi dan disebelah petangnya pula bermula dari pukul 2.00 petang hingga 3.00 petang. Saya perlu menggunakan masa yang terhad itu dengan sebaik-baiknya.



sumber dari: rusnah.wordpress.com

No comments:

Post a Comment