Menara Jam Tertinggi
Puncak menara di atas jam telah ditambah
setinggi 71 meter (233 kaki) lagi bagi menghasilkan jumlah ketinggian 601 meter
(1972 kaki) yang telah menjadikannya bangunan kedua tertinggi di dunia selepas
‘Khalifa Dubai Burj’ dan mengatasi Taipei 101 di Taiwan. Bulan sabit di puncak
menara ini telah dibina pada Jun 2011.
Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan
menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam
lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and
Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam
Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.
Menara jam di kompleks ini adalah juga bangunan
paling tinggi di Arab Saudi dengan ketinggian 601 meter (1972 kaki). Ia turut
mengatasi ‘Emirates Park Towers’ di Dubai sebagai hotel tertinggi di
dunia.
Bulan Sabit
Kerja-kerja pembersihan
bulan sabit Menara Abraj Al-Bait |
Menara Abraj Al-Bait yang mengandungi hotel ini
juga turut dihias replika bulan sabit di atasnya. Bumbung jam pula 530 meter
(1,740 kaki) dari aras bumi, menjadikannya jam seni bina yang paling tinggi di
dunia.
Tinggi keseluruhan menara jam Makkah adalah 601
meter dan setinggi 251 meter dari bahagian bawah muka jamnya sehingga ke
bahagian paling puncak Bulan Sabit. Bulan Sabit yang berdiameter 23 meter itu
adalah yang terbesar pernah dibuat setakat ini dan dapat dilihat dari jarak
sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang.
Azan
Suara Azan dari atas menara dapat didengar
dengan jelas di sekitar Masjidil Haram, Makkah dari jarak kira-kira tujuh
kilometer dan puncak tertinggi jam Mekah diterangi oleh 21,000 mentol cahaya
yang dikeluarkan projektor lampu lampu putih terang dan hijau. Keseluruhan
sistem pencahayaannya menggunakan 2 juta lampu jenis ‘L E D’ untuk menerangi Jam
Makkah pada waktu malam dan cahaya lampu LED yang menghiasinya ini akan
berkerlipan setiap kali azan berkumandang dan boleh dilihat dari jarak sehingga
30 kilometer pada waktu malam.
Kalimah takbir (Allah Maha Besar) dan syahadah
(Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad Rasul Allah)
sepanjang 23 meter setiap satunya ditempatkan berselang-seli di sisi
menaranya.
Muka Jam
Jam gergasi yang memiliki muka jam di setiap
sisinya dengan keluasan paparan setiap satunya 43 meter panjang dan 43 meter
lebar (141 × 141 kaki) adalah yang terbesar di dunia. Berat kasar setiap muka
jam adalah 36 tan.
Manakala 4 enjin berkuasa, setiap satunya
seberat 21 tan diperlukan untuk pengoperasiannya. Oleh itu, enjin Jam Makkah
adalah paling besar dan berat pernah dibuat setakat ini. Panel solar juga
digunakan sebagai janakuasa sokongan untuk mengendalikan enjin masa ini. 20 rod
kilat yang berfungsi secara automatic disediakan bagi melindungi jam dan mentol
daripada kejutan kilat.
Ketika memasuki bulan Hijrah / Islam dan cuti,
akan dinyalakan 16 cahaya alur tegak sejauh lebih daripada 10 kilometer ke arah
langit, berkekuatan 10 kilowatt setiap rasuk. Bagi melakukan kerja-kerja
penyelenggaraan, jam boleh diakses dari dalam menara, pada ketinggian 500 meter
dari aras tanah.
Jarum Jam
Panjang jarum minit, 22 meter dan panjang jam
17 meter seberat 6 tan setiap tangan yang dibuat daripada bahan “gentian
karbon”. Keseluruhan muka jam Mekah memerlukan 43,000 meter persegi “gentian
karbon” yang digunakan dalam industri pesawat moden. Bahan berteknologi tinggi
ini memiliki kekuatan tiga kali ganda lebih tinggi daripada kekuatan besi di
samping keupayaan untuk menentang keadaan cuaca yang ekstrem.
Hiasan
Selain itu sebanyak 98 juta keping mozek kaca
berwarna keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan jam itu.
Muka jam bewarna putih dan hitam semasa hari siang dan bertukar hijau dan putih
pada waktu malam.
Sentuhan Anak Malaysia
Pemaju dan kontraktor kompleks gergasi ini
adalah Saudi Binladin Group, iaitu syarikat pembinaan yang terbesar di Arab
Saudi. Mercu tanda baharu ini turut mendapat ‘sentuhan anak Malaysia’ kerana ia
direka oleh Wan Nazri Wan Aria pemuda kelahiran Melaka yang merupakan jurutera
yang bekerja dengan syarikat SL Rasch, Jerman. Beliau diberi pengiktirafan
menerajui projek dan bertanggungjawab menampilkan ciri-ciri estetik berbeza
Makkah dalam mereka bentuk dan juga pembinaan menara jam gergasi tersebut.
Menara hasil kejituan teknologi Jerman itu juga
bekerjasama dengan syarikat jam Straintec, Switzerland dan syarikat Premier
Composite Technology dari Dubai kerana memerlukan ‘lightweight steel structure’
bagi menyokong jam gergasi itu. Ironinya 14 tenaga pakar syarikat ini juga
terdiri daripada sekumpulan anak muda dari Malaysia, antaranya Ir. Armazizul
Arifin yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau
perhatian jutaan jemaah dari serata dunia.
Kemudahan
Abraj Al-Bait Towers mempunyai kawasan struktur
lantai terbesar di dunia dengan keluasan 1,500,000 m2 (16,150,000 kaki persegi).
Ruang lantai ini menyamai Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai,
Emiriah Arab Bersatu. Ia turut mempunyai pusat membeli-belah empat tingkat dan
tempat letak kereta yang mampu memegang lebih seribu kenderaan.
Menurut Kementerian Wakaf Agama Saudi, jumlah
kos keseluruhan projek ini adalah tiga bilion dolar dan menara jam sahaja
menelan belanja 800 juta USD.
Kompleks Abraj Al-Bait Towers ini telah
dirasmikan oleh Penjaga dua masjid suci, raja Abdullah bin Abdul Aziz pada malam
AD 20 Ogos 2011 (20 Ramadhan 1432 Hijri).
والله
أعلم بالصواب
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang
benar)
sumber dari: waazin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment