Mazhab adalah berasal daripada bahasa arab, yang
bermaksud kecenderungan dalam sesuatu perkara. Soalan sebegini sudah acap kali
orang bertanya.
Bila baca soalan sebegini dan sebelum ini ada juga yang
bertanya soalan yang seumpama dengan ini lantas apa yang terlintas di benak
saya, adakah kita lebih hebat daripada Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Maliki dan
Imam Hanbali sehingga sudah tidak mahu berpegang kepada
mazhab?
Saya tidak salahkan yang bertanya, tetapi saya yakin
pertanyaan ini adalah sebagai landasan mendapat penjelasan yang betul dalam
persoalan yang dimusykilkan.
Kepentingan bermazhab adalah bagi membolehkan kita
mengamalkan agama dengan faham yang sebenarnya. Sebabnya, kita tidak mampu dan
kebanyakan kita tidak layak kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk
berijtihad. Para ulama yang muktabar telah memudahkan kita memahami Islam dengan
lebih mudah.
Contohnya hadis berkaitan wuduk dalam sahih al-Bukhari
dalam kitab bersuci, wuduk, di bawah tajuk ini adalah 75 bab dan 105 hadis, di
dalam kitab al-Ghusl (mandi) terdapat 29 bab dan 44
hadis.
Kadang-kadang dalam satu bab ada ada dua tiga mungkin
lebih lagi. Mungkin juga di antara hadis-hadis itu pada zahirnya macam
bertentangan tetapi hakikatnya tidak. Semua ini orang awam boleh faham ke untuk
menghasilkan hukum?
Tidak semudah yang disangka. Memang Islam itu mudah,
tapi tidaklah sampai dimudah-mudahkan Islam itu.
Pandangan peribadi saya adalah lebih baik orang awam di
negara ini berpegang kepada satu mazhab, iaitu mazhab Syafie, yang menjadi
pegangan majoriti penduduk dunia.
Saya juga mengagumi dan menghormati mazhab-mazhab yang
lain. Tetapi negara ini kita sudah serasi dan menjadi pegangan untuk kian
lama.
Silibus fiqh di sekolah dan universiti juga bermazhab
Syafie. Oleh sebab itu, saya berani mengatakan mazhab Syafie telah menjadi
mazhab rasmi masyarakat yang beragama Islam di negara ini.
Keadaan umat Islam semakin bercelaru dengan berbagai
aliran dan pemikiran selepas kewafatan Rasululah SAW. Terutama pada zaman
Saidina Ali yang muncul berbagai-bagai fahaman seperti aliran Khawarij,
Mu'tazilah dan Syiah dan macam-macam ajaran yang membingungkan hala tuju
manusia.
Oleh kerana terdapat berbagai aliran ini, tepatlah
al-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Al-Imam al-Thabarani: "Bahawa pada akhir
zaman, umat ku terbahagi pada 73 golongan, hanya satu golongan sahaja yang dapat
memasuki syurga manakala yang lain terjun ke dalam neraka. Maka sahabatnya pun
bertanya, siapakah golongan yang satu tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda
Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)".
ASWJ adalah mereka yang mengikut sunnah Rasululah dan
juga sunnah sahabat-sahabat Baginda serta sunnah umat zaman Tabiin (Zaman
300 tahun selepas Rasulullah). Keempat-empat Imam ASWJ iaitu Imam Hanafi, Imam
Maliki, Imam Al-Shafiei dan Imam Hambali tersebut hidup pada zaman tabiin
yakni lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW.
Mendalami
ilmu
Imam Hanafi lahir pada 80 hijrah dan Imam Malik lahir
pada tahun 93 hijrah dalam kurun yang pertama lagi. Imam Al-Syafie lahir pada
pada 150 hijrah dan Imam Hambali lahir pada 164 hijrah.
Semua mereka terkenal dengan sifat-sifat terpuji dan
terkenal dengan ketokohan mereka dalam bidang ilmu. Seawal usia mereka telah
menghafal al-Quran, selesai menghafal al-Quran mereka akan mendalami ilmu hadis
serta ilmu tafsir, disusuli dengan ilmu fiqh dan tauhid.
Mereka sanggup berehlah ribuan batu untuk
mendapatkan ilmu, sanggup mengharung perit maung dalam mencari ilmu. Sepanjang
riwayat hidup mereka kita akan dengar yang baik-baik, yang indahnya mereka
adalah ulama yang jujur dalam menegakkan kebenaran demi Allah SWT dan
Rasul-Nya.
Perjuangan mereka jujur ijtihad mereka juga semata-mata
mencari keredaan Allah SWT. Keempat-empat Imam tersebut juga boleh
mengistinbatkan hukum selain dari al-Quran dan al-hadis. Selain itu,
keempat-empat mereka juga mempunyai kitab rujukan pada anak murid dan
umum.
Seperti Imam Hanafi yang mempunyai kitab al-hadis yang
bernama Al Wasit, Imam Malik dalam kitab Al-Muwattha, Imam
Al-Shafie dalam kitab Al-Uum dan Al-Imam Hambali (Ahmad bin
Hambal).
(Mazhab bagi keluarga Ibn Tamiyah di mana bapanya
adalah ulama bermazhab Hambali) dalam kitab al-Hadis yang terkenal yang bernama
Al-Musnad yang merangkumi 35,000 hadis di dalamnya.
Keempat-empat Imam tersebut apabila memberi fatwa atau
berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis
Rasulullah SAW.
Kalau ada mana-mana pihak yang mengikuti salah satu
daripada empat mazhab tersebut, ertinya mereka juga telah mengikut al-Quran dan
al-hadis.
Cuma sebagai orang awam yang tidak tahu ayat al-Quran
dan al-hadis mana yang diterima pakai. Kerana itu digelar muqalidin atau
pengikut.
Memang sudah menjadi sunnatullah sejak Nabi Adam
sehingga pada akhir zaman, orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai
daripada orang alim. Walaupun sebenarnya ramai yang ingin menjadi
alim.
Begitu juga dalam ilmu pengetahuan, sedikit sahaja yang
berilmu tetapi yang jahil amat ramai. Dalam pada itu patutkah diminta pendapat
orang awam mengkaji dan menggali sendiri al-Quran dan
hadis?
Tidak munasabah meminta mereka berijtihad sendiri
kepada al-Quran dan hadis. Oleh yang demikian berpegang kepada satu mazhab yang
muktabar seperti mazhab Syafie adalah lebih baik dan lebih
selamat.
Ini kerana kita akan seragam dalam penghayatan dan
pengamalan serta mengelakkan pertelingkahan antara satu sama
lain.
sumber dari: alambukansemulajadi.blogspot.com