Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Saturday 18 May 2013

Perkuburan Baqi’



Mungkin tidak berlebihan jika mengatakan bahawa Perkuburan Baqi’ adalah perkuburan paling mulia di antara kesemua perkuburan di dunia. Di Perkuburan Baqi’ ini menempatkan 10,000 jenazah termasuk para Ahlul Bait iaitu isteri-isteri dan anak-anak Rasulullah saw, para sahabat dan para tabien. Perkuburan ini tidak pernah sunyi daripada dikunjungi oleh para pengunjung yang melaksanakan ibadah umrah. Rata-rata mereka ingin menikmati rasa cinta kepada para sahabat dan tabien yang telah banyak berkorban kepada perkembangan Islam. Berkenaan dengan kelebihan perkuburan Baqi’, Rasulullah saw pernah bersabda,

“Aku adalah orang pertama yang keluar daripada Bumi(ketika hari kebangkitan), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian giliran penghuni Baqi’ yang akan berhimpun bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Mekah sehingga penuh di antara dua Masjidil Haram”.

Sejarah Perkuburan Baqi’

Perkuburan Baqi’ terletak di tenggara Masjid Nabawi di Madinah. Di satu sudut di Masjid Nabawi terdapatnya kubur junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Perkuburan Baqi’ juga dikenali dengan Jannatul Baqi’ atau Taman Syurga. Perkuburan Baqi’ juga mempunyai gelaran lain iaitu Baqi’ul Qarqad atau Taman Qarqad.

Gelaran Baqi’ul Qarqad diberikan kepada perkuburan Baqi kerana sebelum tanah tersebut digunakan sebagai wakaf perkuburan Baqi’, tanah tersebut telah dipenuhi dengan pohon Qarqad. Pohon Qarqad adalah sejenis pohon renek yang berduri. Ia mampu hidup subur di iklim sederhana dan subtropika. Kepada yang tidak mengetahui apakah itu pohon Qarqad ini, Rasulullah saw pernah bersabda,

“Tidaklah akan berlakunya kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, “Hai orang Islam, inilah orang Yahudi di belakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah ia!” kecuali pohon Qarqad, kerana sesungguhnya pohon ini adalah dari pohon Yahudi”

Jenazah pertama yang disemadikan di Perkuburan Baqi’ adalah seorang sahabat Rasulullah saw daripada golongan Ansar iaitu Asa’ad bin Zararah. Oleh yang demikian, Asa’ad bin Zararah tercatat sebagai sahabat Rasulullah saw pertama yang disemadi di Perkuburan Baqi daripada golongan Ansar. Manakala, jenazah pertama yang disemadikan di Perkuburan Baqi’ daripada golongan Muhajirrin adalah Uthman bin Mahzun. Ahlul Bait pertama disemadikan di perkuburan mulia ini adalah anak perempuan Rasulullah saw, Ruqayyah bin Muhammad saw.

Perluasan pertama yang dilakukan terhadap Perkuburan Baqi’ adalah pada zaman pemerintahan Muawiyyah bin Abi Sufian. Beliau telah membeli beberapa ladang yang berhampiran dengan Perkuburan Baqi’ untuk dijadikan wakaf perkuburan.

Kemudian Muawiyyah telah membina kubah di atas kubur Saidina Uthman bin Affan yang juga merupakan warisnya. Kubur Saidina Uthman bin Affan adalah kubur pertama yang dibina kubah di Perkuburan Baqi. Selepas daripada pembinaan kubah di kubur Saidina Uthman bin Affan, banyak lagi kubah telah dibina untuk para sahabat dan tabien yang mashyur oleh para khalifah Islam yang bersilih ganti.

Pemusnahan

Pada tanggal 1 Mei 1925, Perkuburan Baqi’ telah dimusnahkan atas arahan Raja Abdul Aziz al-Saud dan ulama-ulama Mazhab Wahabbi. Ulama-ulama Wahabbi yang berpegang teguh dengan prinsip anti-Bidaah itu memusnahkan seluruh moseleum, kubah dan struktur binaan di Perkuburan Baqi’. Tindakan yang disifatkan mereka sebagai ‘penyucian daripada khurafat dan bidaah’ sebenarnya menyahut pegangan mazhab Wahabbi yang melarang sebarang struktur dibina di atas makam.

Tindakan ulama-ulama Wahabbi dan Raja Abdul Aziz ini dianggap melampau dan keterlaluan oleh sesetengah pihak terutama puak Syiah. Puak Syiah menyifatkan tindakan ulama Wahabbi meruntuhkan dan meratakan kesemua binaan Ahlul Bait seperti makam Fatimah binti Muhammad, Masjid Fatimah, Rumah Rasulullah saw di Mekah, makam Bani Hasyim di Mekah, Mesoleum dan rumah Imam pertama Syiah, Imam Jaafar al-Sadiq dan banyak lagi adalah melampau dan sangat keterlaluan. Mereka mengingati peristiwa ini sebagai Yaumi Gham atau Hari Kesedihan.

Rasional

Sebenarnya, tindakan ulama-ulama Wahabbi yang merata dan memusnahkan seluruh binaan di Perkuburan Baqi’ ada rasional dan nasnya. Ulama Wahabbi menggunakan beberapa hadis Rasulullah saw yang melarang sebarang binaan dan tulisan dicatatkan di kuburan.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri ra menceritakan;

“Sesungguhnya Nabi saw menegah dari membuat binaan di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).

Hadis yang lain turut menyatakan Rasulullah saw melarang daripada membina binaan di perkuburan.

“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, dari duduk di atasnya dan dari membuat binaan di atasnya” (Riwayat Imam Muslim ra dari Jabir ra).

Tindakan tegas ulama Wahabbi ini telah menyebabkan protes oleh puak Syiah yang sering mengunjungi beberapa tempat dan kuburan yang dianggap mereka sebagai suci seperti makam Fatimah, makam Imam Jaafar as-Sadiq, makam Ibnu Abbas, Qubbat’ al-Thanaya(makam gigi Rasulullah saw ditanam semasa Perang Uhud) dan beberapa lagi tempat lain.

Mereka sering berada di tempat tersebut untuk membayar nazar atau berdoa meminta berkat. Ia benar-benar menyalahi hukum syarak dan ini diambil oleh ulama Wahabbi sebagai punca kepada pemusnahan kesemua tempat-tempat suci pada pandangan mereka.

Harus dipuji kepada tindakan Wahabbi ini adalah mereka ternyata tidak pilih kasih kepada segala tindakan yang telah dibuat. Sebagai contoh, tanah perkuburan yang dikhaskan kepada keluarga diraja Raja Saudi iaitu Perkuburan Al-Oud, tiada satupun binaan mahupun tanda batu bertulis di perkuburan tersebut. Perkuburan Al-Oud berlainan dengan perkuburan-perkuburan diraja lain di dunia di mana perkuburan diraja lain dilengkapi dengan kubah dan moseleum yang mahal dan mewah seperti Taj Mahal, Perkuburan Diraja Adhamiya di Baghdad dan lain-lain.






Walaubagaimanapun, kontranya adalah umat Islam hari ini tidak mampu lagi untuk mengenali dan mengunjungi makam dan tempat-tempat mulia milik Rasulullah saw untuk dijadikan ikhtibar dan pedoman. Waallahualam..


sumber dari: ustazsubri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment