Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Friday 17 May 2013

Mekah disebut dalam Injil dan Taurat




Mekah adalah kota paling suci bagi umat Islam selain Baitul Maqdis di Palestin dan Madinah al-Munawarah. Mekah  merupakan kota kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad saw. Di sini juga Rasulullah saw menerima wahyu dan seterusnya dilantik sebagai nabi dan rasul kepada seluruh makhluk termasuk umat manusia dan golongan jin.

Di kota suci ini berdirinya tempat ibadat yang paling kerap dikunjungi di dunia iaitu Kaabah. Kaabah adalah binaan berbentuk segi empat yang menjadi kiblat umat Islam. Kaabah adalah binaan tertua yang digunakan untuk tujuan beribadat kepada Allah swt sehingga ia digelar dengan gelaran Baitul Attiq yang membawa maksud Rumah Tertua.

Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.
(Surah al-Haj ayat 29)

Samaada Mekah dan Kaabah, kedua-dua ini adalah saksi bisu kepada kepayahan dan kesukaran Rasulullah saw berdakwah di tengah-tengah masyarakatnya yang mengamalkan ajaran paganisme atau penyembahan berhala. Rasulullah saw sendiri sehingga satu ketika pernah diusir daripada Mekah dan berhijrah ke Madinah. Namun, akhirnya baginda kembali ke Mekah sebagai seorang pemenang.

Merujuk kepada persoalan utama kita, adakah Mekah dan Kaabah disebut dalam kitab Taurat dan Injil? Adakah pembaca di luar sana pernah terfikir dengan persoalan ini?

Mekah adalah Paran dalam kitab Taurat?

Dalam Taurat dan Injil, secara jelas terdapat ayat yang menyebut tentang ‘Paran’.

‘The LORD came from Sinai and dawned over them from Seir; he shone forth from Mount Paran. He came with myriads of holy ones from the south, from his mountain slopes.’ 
(Deuteronomy 33:2)
Ayat ini juga bermaksud,

“Tuhan datang daripada Sinai dan muncul bersinar daripada Seir, Dia nampak bergitu jelas di Gunung Paran. DIA datang dengan berjuta-juta kesucian daripada selatan, daripada kecerunan gunung.

Melalui ayat di atas, Sinai adalah nama pergunungan di mana Nabi Musa as menerima Taurat dan berbicara dengan Allah swt. Seir pula adalah nama bagi pergunungan di Baitul Maqdis yang menjadi perbatasan antara Kanaan(Palestin) dan Mesir. Manakala ayat terakhir menyebut tentang Gunung Paran. Gunung Paran adalah  gunung-gunung yang terdapat di Kota Mekah.






Secara harfiahnya, ayat di atas menunjukkan Tuhan telah bersumpah demi ketiga-tiga tempat ini sebagai saksi kepada bangkitnya tiga orang Rasul agung yang membawa ajaran agama langit. Sinai merujuk terus kepada Nabi Musa as, Seir pula merujuk kepada Nabi Isa as manakala Gunung Paran merujuk kepada bangkitnya Rasul terakhir, Nabi Muhammad saw. Ketiga-tiga Rasul ini membawa ajaran tauhid iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam.

Ayat 2 dalam bab Deutronomy ini selari dan sangat bersesuaian dengan firman Allah swt dalam surah Tiin ayat 1-3,

Demi (buah) Tin  dan (buah) Zaitun, dan demi bukit Sinai, dan demi kota (Mekah) ini yang aman,
(Surah Tiin ayat 1-3)

Merujuk kepada tafsir Ibnu Kathir Jilid 9 mukasurat 642-643, ayat permulaan Surah Tiin, menunjukkan Allah swt bersumpah demi Buah Tiin dan Zaitun, bukit Sinai dan kota Mekah. Allah swt bersumpah kerana kesucian daripada ketiga-tiga tempat tersebut kerana ketiga-tiga tempat tersebut Allah utuskan seorang Nabi sekaligus Rasul daripada kalangan umat mereka untuk menyebarkan tiga agama besar iaitu Nasrani, Yahudi dan Islam.

Dalam ayat pertama, Allah swt menyebut dengan terang berkenaan buah Tiin dan Zaitun. Ulama bersepakat bahawa ia merujuk kepada kota Baitul Maqdis kerana banyaknya buah Tiin dan Zaitun tumbuh subur di wilayah tersebut. Sehingga ke hari ini, buah Tiin dan buah Zaitun menjadi salah satu sumber pendapat penduduk di sana. Kota Baitul Maqdis adalah tempat lahirnya Nabi Isa as yang kemudian dilantik membawa ajaran Nasrani.

Dalam ayat kedua, Allah swt menyebut Bukit Sinai dengan jelas. Ia sebenarnya menunjukkan Allah swt merujuk kepada keberkatan Bukit Sinai di mana Nabi Musa as diberikan kitab Taurat dan Allah swt berbicara dengan baginda. Daripada peristiwa itu Nabi Musa digelar Kalamullah yang bermaksud pembicaraan Allah.

Dalam ayat ketiga surah Tiin, Allah bersumpah ‘demi kota yang aman’. Kota yang aman adalah kota Mekah. Ia bersesuaian dengan  sebahagian ayat dalam surah Ali Imran ayat 97, Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim, barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia;

‘Lembah Baca’ adalah Mekah?disebut dalam Taurat dan al-Quran?

Selain daripada Paran yang dikaitkan dengan Mekah al-Mukarramah, satu lagi nama yang selari faktanya dengan satu ayat dalam al-Quran. Ia adalah lembah Baca atau Bakkah. Dalam Taurat, dalam Psalms ayat 5 – 6 ada disebut mengenai Lembah Bakkah tersebut,

“Blessed is the man whose strength is in thee; in whose heart are the ways of them.  Who passing through the Valley of Baca make it a well; the rain also filleth the pools.”
(Psalms 84:5-6)

Sungguh menakjubkan, dalam surah Ali Imran ayat 69, turut disebut mengenai Lembah Bakkah ini.

“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia.
(Surah Ali Imran ayat 96)

Asbabul Nuzul(Sebab turun) ayat 96 surah Ali Imran di atas adalah bantahan Allah swt terhadap ahli kitab yang mendakwa bahawa tempat ibadat di Baitul Maqdis adalah binaan pertama yang digunakan untuk beribadat. Besar kemungkinan tempat ibadat tersebut adalah kuil Nabi Sulaiman yang sekarang ini menjadi tapak kepada Masjidil Aqsa.

Keselarian daripada Psalms ayat 5-6 dan Surah Ali Imran ayat 96 menunjukkan bahawa Valley of Baca yang disebut Psalms ayat 5-6 adalah Mekah seperti Paran yang disebut dalam Deuteronomy 33 ayat 2.

Fakta yang boleh dikaitkan dengan Mekah adalah dengan ayat ‘rain’ dan ‘pools’. Umum mengetahui bahawa Mekah diberkahi dengan air zam-zam yang tidak pernah kering. Air Zam-Zam itu bergenang seperti kolam sehingga penduduk awal Mekah iaitu daripada suku Jurhum membina benteng dan telaga untuk memelihara airnya bagi pelbagai tujuan. Fakta dalam Psalms ayat 5-6 bertepatan dengan ciri-ciri Mekah yang menjadi bumi kelahiran Nabi Muhammad.






Paran sememangnya adalah Mekah

Keselarian beberapa ayat dalam dua kitab suci agama Islam dan Yahudi menunjukkan bahawa Rasulullah saw sudah dijanjikan Allah swt untuk dibangkitkan di bumi Mekah. Oleh kerana itulah Paran atau Bacca beberapa kali disebut dalam kitab Taurat bagi menaikkan martabat bumi di mana lahirnya insan agung.

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad).” Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata.”
(al-Saff ayat 6)


Ia bersesuaian juga dengan doa bapa kepada segala Nabi, Nabi Ibrahim as ketika berada di bumi Mekah yang bermaksud,

Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al-Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana
(Surah al-Baqarah ayat 129)




sumber dari: takusahrisau.wordpress.com

No comments:

Post a Comment