Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya, Katakanlah (Muhammad),
‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku,
meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)
(Al-Kahfi:109).

Thursday 1 May 2014

Sayyidina Umar R.A Menulis Kepada Sungai Nil





Semasa Amru bin Al-As menjadi gabenor orang Islam di negara Mesir yang dilantik oleh Sayidina Umar Al-Khattab r.a, beliau menghadapi satu cabaran iaitu musim kemarau yang menyebabkan keringnya sungai Nil yang merupakan sumber bekalan air ke seluruh negara tersebut.

Memang menjadi tradisi orang-orang Qibti yang merupakan masyarakat peribumi negara tersebut untuk mengadakan upacara korban dalam sesuatu tempoh untuk ‘penunggu’ yang bertugas menjaga kepentingan mereka di sungai Nil. 

Kononnya dengan cara itu mereka akan mendapat keberkatan rezeki. Mereka juga percaya bahawa ‘ibadah’ korban menggunakan anak dara yang paling elok yang dipilih di kalangan mereka itu penting supaya penunggu tersebut tidak murka kepada mereka. .

Apabila Amru bin Al-As menjadi pemimpin di situ beliau telah menghentikan perbuatan mungkar tersebut di atas prinsip Islam mengharamkan upacara memuja syaitan dan jin. Secara kebetulan berlaku kemarau. Keadaan ini menyebabkan penduduk yang masih mempercayai perkara karut itu memohon untuk mengadakan semula upacara tersebut bagi mengelak kerugian yang lebih besar. Amru bin Al-As memaklumkan kejadian itu kepada Khalifah Sayidina Umar r.a di Madinah.

Baginda memuji tindakan gabenornya menghentikan amalan khurafat itu malah menyokongnya. Di samping itu baginda telah menghantar sepucuk surat lain meminta Amru supaya mencampakkan suratnya itu ke dalam sungai Nil. Apabila Amru menerima surat daripada Sayidina Umar, beliau mendapati ada bersamanya surat yang alamatnya ‘buat’ sungai Nil. Isi kandungannya berbunyi: 

“Dari hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Nil Mesir. Segala puji buat Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi, tetapi jika Allah SWT yang mengalirkanmu maka kami memohon kepada Allah agar mengalirkan kamu semula!”

Dengan karamah Sayidina Umar r.a, pada hari yang sepatutnya penduduk Mesir kembali melakukan amalan syirik itu, sungai Nil menjadi lebih luas dan lebih banyak airnya. Allah SWT telah mentakdirkan agar tradisi syirik itu berakhir di tangan khalifah yang sangat dicintai oleh semua umat Islam, Sayidina Umar al-Khattab r.a.

PENGAJARAN :
  • - Syaitan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyesatkan manusia dengan melakukan amalan yang disangkanya betul.
  • - Manusia yang beribadah dengan taat dan ikhlas kepada Allah akan dikurniakan kelebihan yang dinamakan sebagai karamah seperti yang dikurniakan kepada Sayidina Umar r.a.
  • - Umat Islam wajib kembali kepada Allah memohon rahmatNya dalam segala ujian yang berlaku dalam hidup mereka seperti yang berlaku kepada penduduk Mesir.



sumber dari: telagabiru.net.my/

No comments:

Post a Comment